PANGGILAN DAN AMANAT
(Yao Jia Qi)
Syukur kepada Tuhan, dengan kasih karunia-Nya yang kaya, Dia mengampuni segala pelanggaran kita dan memilih kita untuk menjadi anak-anak-Nya sehingga kita dapat mewarisi bahagian yang berkelimpahan di dalam-Nya. Begitulah caranya kita dipanggil untuk menjadi orang-orang kudus dalam Kristus Yesus (1 Kor 1:1-2). Namun, Tuhan akan bertindak lebih jauh dengan memilih mereka yang berkenan di hati-Nya, memanggil dan menguduskan mereka supaya mereka menjadi perabot rumah untuk maksud yang mulia agar dapat menjayakan amanat suci yang dipercayakan (2 Tim 2:21). Percayalah bahawa anda dan sayalah golongan yang berkenan kepada Tuhan dan berkenan di hati Tuhan. Mari kita miliki pengakuan dan usaha berikut:
A. MEMAHAMI KEHENDAK TUHAN MEMANGGIL MANUSIA
1. Memanggil manusia untuk berpaling daripada dosa dan kejahatan
Ketika Adam, nenek moyang berdosa dan bersembunyi daripada Tuhan, Tuhan memanggilnya dan berfirman kepadanya: “Di manakah engkau?”. Tujuannya adalah supaya dia dapat menyedari kedudukan dan rasa malunya pada saat itu (Kej 3:9). Sejak itu, manusia sering memberikan kesempatan kepada Iblis, mengikuti jalan dunia ini, mentaati pekerjaan roh-roh jahat, hidup dalam hawa nafsu sehingga mati kerana dosa dan menjauhi Tuhan disebabkan oleh pelbagai kelemahan (Ef 2:1-3). Namun, Tuhan tetap menggunakan pelbagai kaedah untuk mengingatkan dan mendisiplinkan manusia agar dapat menyelamat dan menebus hidup mereka (Ayb 33:14-24).
Kehendak Tuhan ini jelas. Tuhan tidak berkenan kepada kematian orang fasik, melainkan berkenan kepada pertaubatan orang fasik itu daripada kelakuannya supaya ia hidup. Oleh itu, Tuhan terus-menerus menggerakkan para nabi dan murid-murid selama zaman-berzaman dan menyatakan kepada orang-orang Israel atau orang-orang kafir yang tenggelam dalam dosa: “Kembalilah kepada Tuhan. Berbaliklah dari tingkah lakumu yang buruk dan dari perbuatanmu yang jahat! Berpeganglah pada segala ketetapan Tuhan serta lakukanlah keadilan dan kebenaran.” Dengan itu, mereka dapat terus hidup dan tidak mati (Yeh 33:11, 18:21-23; Za 1:3-4).
Oleh itu, melalui panggilan-Nya terhadap manusia, Tuhan membuatkan manusia merasakan keagungan Tuhan dan tahu bahawa manusia tidak boleh melanggar perintah-Nya, menyedari kesalahan sendiri, berbalik daripada kegelapan kepada terang dan daripada kuasa Iblis kepada Tuhan (Kis 26:18). Sama seperti suara Tuhan berkata kepada Paulus: “Saulus, Saulus, mengapakah engkau menganiaya Aku?” (Kis 9:4). Sejak saat itu, sebuah kehidupan yang keras kepala telah berubah sehingga mencipta sebuah sejarah agama Kristian yang hebat.
2. Memanggil manusia untuk memegang jabatan khas
Selain memanggil manusia berdosa untuk kembali, Tuhan dengan kehendak khas-Nya juga memanggil pekerja yang ingin digunakan oleh-Nya untuk memegang jabatan tertentu bagi menyelesaikan amanat khusus. Sama seperti Paulus, tujuan utama Tuhan memanggilnya adalah untuk menjadi rasul bagi bangsa-bangsa lain, membawa Injil ke seluruh dunia dan memenuhi janji Injil disampaikan kepada semua bangsa (Kis 22:21; Gal 2:8; Mal 1:11).
Rancangan penyelamatan dan penebusan juga boleh dilihat dengan kerap dalam Perjanjian Lama. Contohnya memanggil Abram untuk pergi dari negerinya dan dari sanak saudaranya dan dari rumah bapanya ke negeri yang akan ditunjukkan kepadanya (Kej 12:1; Kis 7:2-3; Ibr 11:8). Dia digelar sebagai “Bapa Iman” kerana ketaatan dan imannya yang teguh kepada Tuhan (Rm 4:17). Sama seperti memanggil Musa untuk menyelamatkan umat Tuhan dari Mesir (Kel 3:7-10). Sebelum itu, Tuhan memberikan empat puluh tahun yang pertama kepadanya untuk dididik dalam segala hikmat orang Mesir (Kis 7:22). Pada empat puluh tahun yang kedua, Tuhan melatih Musa di padang gurun, menjadikannya seorang yang sangat lembut hatinya, lebih dari setiap manusia yang di atas muka bumi (Bil 12:3). Dalam empat puluh tahun yang terakhir, barulah Tuhan menggunakannya untuk membangun dasar untuk skala iman kepercayaan Kerajaan Tuhan. Sebagai contoh yang lain, memanggil Yunus ke kota Niniwe dan berseru kepada penduduknya: “Empat puluh hari lagi, maka Niniwe akan ditunggangbalikkan.” (Yun 1:1-2, 3:4), sehingga dia dapat merasai kasih mesra Tuhan yang berbelas kasihan serta mengatasi prasangka kebencian antara kaum. Yesaya dan Yeremia dipanggil untuk menjadi nabi bangsa-bangsa, untuk mencabut dan merobohkan, untuk membinasakan dan meruntuhkan, untuk membangun dan menanam. Tuhan juga menolong mereka menjadi kota yang berkubu, menjadi tiang besi dan menjadi tembok tembaga, melawan kuasa jahat dengan berani dan tanpa gentar (Yes 6:8; Yer 1:4-10,18).
3. Memanggil manusia untuk memahami wahyu khas Tuhan
Kadang-kadang, panggilan Tuhan tidak semestinya bermaksud untuk memberikan jabatan kepada manusia, tetapi hanya memanggil manusia untuk memahami wahyu Tuhan yang khusus sehingga dapat menghasilkan tindakan yang taat dan menyempurnakan kehendak khas Tuhan.
Sebagai contoh, malaikat menampakkan diri kepada Maria dan Yusuf secara berasingan, menyampaikan bahawa nubuat “anak dara itu akan mengandung dan melahirkan seorang anak laki-laki“ akan digenapi atas diri mereka (Luk 1:28-38; Mat 1:20-23). Walaupun pesanan yang datang secara tiba-tiba ini hinggap saja bagai langau, titik saja bagai hujan dan sukar untuk diterima, namun panggilan dan kehendak Tuhan adalah jelas sekali. Pasangan soleh yang takut akan Tuhan ini memilih untuk taat dan mengatasi rasa takut mereka terhadap pengalaman yang tidak dapat dijelaskan. Akhirnya, mereka benar-benar menjadi sebuah keluarga dengan kasih karunia dan berkat yang besar.
Contoh lain adalah ketika Paulus berkeputusan untuk berkhutbah dan memberitakan Injil di Asia, Roh Kudus jelas mecegah tindakan itu. Dia berpusing ke beberapa tempat, tetapi Roh Kudus tetap tidak mengizinkannya berbuat demikian. Namun, Tuhan menyatakan kepada Paulus melalui penglihatan pada waktu malam: seorang Makedonia berdiri di situ dan berseru kepadanya, katanya: “Menyeberanglah ke mari dan tolonglah kami!” (Kis 16:9-10). Paulus segera memahami bahawa Tuhan telah memanggil mereka untuk memberitakan Injil kepada orang-orang di sana. Maka dia meninggalkan rancangan asalnya, mentaati penglihatan Tuhan dan memulakan perjalanan Injil yang lain sehingga memperluas Injil ke Eropah dan ke seluruh dunia.
B. MENYAHUT PANGGILAN DENGAN SIKAP YANG SESUAI
Tuhan bersedia memilih manusia untuk meninggalkan kegelapan dan datang kepada terang, atau memanggil pekerja-Nya untuk tampil dan menyempurnakan kehendak-Nya. Apabila menghadapi panggilan Tuhan, manusia harus menyahut panggilan Tuhan dengan kerendahan hati dan sikap yang sesuai.
1. Jangan melarikan diri
Firman Tuhan sampai kepada Yunus, dia dipanggil untuk pergi ke kota Niniwe dan menyampaikan penghakiman Tuhan. Namun, dia kehilangan kasihnya oleh sebab prasangka perkauman, lalu melarikan diri daripada Tuhan (Yun 1:1-3). Apabila dia harus ke arah timur, dia menuju ke arah barat yang paling hujung. Ketika Tuhan mengingatkannya dengan angin ribut dan badai besar di laut, dia sengaja bersembunyi di dalam ruang kapal yang paling bawah dan tidur dengan santai. Ketika semua orang menghadapi risiko nyawa, dia memiliki keberanian untuk menanggung kesalahannya. Dia bersedia dicampakkan ke dalam laut untuk menenangkan murka Tuhan. Setelah dia ditelan ke dalam perut ikan dan tenggelam ke dasar bumi, barulah dia sedar, berdoa, dan bertaubat daripada hatinya yang keras terhadap Tuhan. Ya, Tuhan ada di segala tempat. Dia sentiasa mengawasi, dan tidak ada cara untuk manusia bersembunyi daripada Tuhan. Sama seperti pengalaman Daud dan mazmur Daud. Dia berfikiran bahawa persekongkolan yang dirancangnya untuk “membunuh dan merampas isteri orang lain” adalah sempurna (2 Sam 11). Namun hal yang dilakukan olehnya secara tersembunyi akan dilakukan di depan seluruh Israel secara terang-terangan oleh Tuhan. Jadi dia mengarang mazmur untuk memuji dan berkata: “Ke mana aku dapat pergi menjauhi roh-Mu, ke mana aku dapat lari dari hadapan-Mu? Jika aku mendaki ke langit, Engkau di sana; jika aku menaruh tempat tidurku di dunia orang mati, di situ pun Engkau.” (Mzm 139:7-8).
Yunus menolak panggilan Tuhan kerana sentimen perkaumannya iaitu dia tidak mahu musuh diselamatkan. Namun, dalam kebanyakan situasi pada hari ini, manusia menolak panggilan Tuhan kerana takut untuk membayar harganya / berkorban. Contohnya, ketika Yesus memanggil seorang lelaki untuk mengikutinya, lelaki itu menjawab: “Izinkanlah aku pergi dahulu menguburkan bapaku.” (yang mungkin bermaksud bahawa aku akan mengikuti-Mu setelah bapaku meninggal). Tetapi Yesus berkata kepadanya: “Biarkan orang mati menguburkan orang mati; tetapi engkau, pergilah dan beritakanlah Kerajaan Allah di mana-mana” (Luk 9:59-62). Permintaan Yesus nampaknya kejam dan tidak adil. Sebenarnya, Tuhan melihat perjuangan batiniah lelaki itu. Dia tidak rela berkorban untuk Yesus, dan dia sengaja menolak dengan alasan itu. Banyak pemercaya hari ini terlalu mementingkan pencapaian duniawi, kenikmatan hidup dan mengejar kebebasan peribadi dengan harapan dapat memperoleh seluruh dunia untuk diri sendiri sementara masih muda. Mereka tidak rela berkorban untuk Tuhan dan iman kepercayaan mereka. Tuhan benar-benar mendorong kita untuk jangan takut berkorban kerana usaha yang kita lakukan tidak akan menjadi sia-sia. Tuhan akan memberikan ganjaran yang berganda ke atas semua yang ditinggalkan demi-Nya sehingga kita mempunyai berkat hidup kekal pada zaman yang akan datang (Mrk 10:29-30).
2. Jangan memandang rendah pada diri sendiri
Persekitaran pertumbuhan dan peluang pembangunan setiap orang berbeza. Maka, adanya perbezaan dari segi keperibadian, kemampuan, dan karunia. Namun, “yang pekak pelepas bedil, yang buta pengembus lesung, yang bisu penggera ayam, yang lumpuh penghuni rumah”. Selagi kita mempunyai hati untuk membalas budi dan rela untuk memberi, dan menunjukkan bahawa kita ialah pelayan Tuhan dalam segala hal, kita akan dapat menjadi orang yang dipandang layak untuk dipakai Tuhan (2 Kor 8:12, 6:4). Namun ada kalanya manusia salah menilai dirinya sendiri, atau menganggap dirinya hebat, lupa bahawa karunia yang dimiliki oleh mereka diterima daripada Tuhan, dan sendiri menjadi raja (1 Kor 4:7-8); atau menganggap dirinya begitu hina dan memandang rendah terhadap diri sendiri lalu tidak berani memikul tanggungjawab. Sebagai contoh, hakim Gideon ialah orang yang begitu. Ketika Tuhan memanggilnya untuk menjadi hakim untuk menyelamatkan orang Israel, dia berkata: “Ah Tuhanku, dengan apakah akan kuselamatkan orang Israel? Ketahuilah, kaumku adalah yang paling kecil di antara suku Manasye dan aku pun seorang yang paling muda di antara kaum keluargaku.” Dia menolak panggilan Tuhan kerana latar belakang keluarganya yang kerdil dan kekurangan keyakinan diri. Mungkin sebab itulah dia berulang kali meminta tanda daripada Tuhan sebelum dia bersedia untuk bertindak (Hak 6:15,17, 36-40)! Sebenarnya, kita salah menilai diri sendiri kerana kita telah salah menilai kuasa Tuhan dan tidak dapat memahami bahawa “Bukan dengan keperkasaan dan bukan dengan kekuatan, melainkan dengan roh-Ku” (Za 4:6).
Bukan hanya Gideon, tetapi Musa dan Yeremia juga pernah menggunakan banyak alasan seperti “tidak layak” untuk menolak atau menangguh-nangguhkan panggilan Tuhan (Kel 3:11,13, 4:1,10; Yer 1:6). Terutamanya Musa, dia hanya sudi bertindak setelah Tuhan berulang-ulang menggunakan “pujukan moral”, “kesedaran akan kebenaran”, dan bahkan mengangkat Harun menjadi nabinya (berbicara untuknya) (Kel 7:1).
Kerendahan hati (rendah diri secara rendah hati) ialah amalan yang baik. Tetapi jika mengasihani diri sendiri sehingga memandang ringan terhadap diri sendiri dengan berfikiran bahawa diri sendiri tidak setanding dengan orang lain atau ganjaran Tuhan tidak setara, tindakan itu akan menjadi “rendah diri secara sombong”. Tindakan ini akan menyebabkan kerugian besar kepada diri sendiri, orang lain atau kerja suci.
3. Siapkan minda dengan teliti
Dipanggil oleh Tuhan tentunya merupakan suatu perkara yang mulia. Panggilan itu harus diberi tindak balas dan diberi tindakan dengan kadar yang segera. Walau bagaimanapun, jangan memberikan tindak balas atau bertindak secara terburu-buru dan membabi buta. Sekiranya tidak berhati-hati, kita juga mungkin berbuat dosa terhadap Tuhan dan menyebabkan kerugian atau kerosakan (Im 10:1-3). Persiapkanlah hati dan fikiran dengan berhati-hati, dan rancanglah dengan tekun. Dengan itu, barulah hati, fikiran dan motivasi pelayanan akan dapat bertahan hingga akhir.
Ketika banyak orang berduyun-duyun mengikuti Yesus, Yesus meminta mereka untuk lebih mengasihi Tuhan daripada orang yang mereka sayangi. Yesus juga meminta mereka memikul salib mereka sebelum layak menjadi murid-Nya. Dengan menggunakan perumpamaan “mendirikan menara” dan “pergi berperang”, Dia mahu manusia terlebih dahulu membuat anggaran biaya dan pertimbangan sebelum mengambil tindakan agar tidak menjadi bahan ejekan ekoran tidak dapat menyelesaikan kerjanya (Luk 14:25-33). Elisa juga sedemikian. Ketika Elia melemparkan jubahnya kepada Elisa, Elisa terus memahami panggilan Tuhan. Namun dia meminta untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapanya terlebih dahulu. Dia juga menyembelih sepasang lembu dan memasak dagingnya untuk diberi makan kepada orang-orangnya bagi menunjukkan keazamannya untuk mempersembahkan dirinya (1 Raj 19:19-21). Sejak itu, dia mengikuti Elia dengan rapat, tidak lalai atau terpengaruh dengan kuasa luaran. Dia merindukan dua kali lipat roh Tuhan. Selepas Elia naik ke syurga dalam angin badai, dia mendapatkan jubah (jabatan) dan kuasa Elia (2 Raj 2:1-14).
4. Bersikap positif dan berusaha
Pengalaman nabi Yesaya dipanggil adalah sangat istimewa. Dalam penglihatan, dia melihat Tuhan duduk di atas takhta yang tinggi dan menjulang, para Serafim berdiri, saling berseru dan memuji Tuhan. Yesaya lantas merasakan dirinya kotor dan tidak layak. Pada masa ini, seorang daripada Serafim menyentuh mulutnya dengan bara yang diambil dengan sepit dari atas mezbah untuk menghapuskan dosanya. Dia sangat terharu dengan penglihatan ini. Ketika dia mendengar suara Tuhan berkata: “Siapakah yang akan Kuutus, dan siapakah yang mau pergi untuk Aku?”, dia segera menyahut: “Ini aku, utuslah aku!” (Yes 6:1-8). Hari ini, adakah kita juga dapat bersyukur atas pengorbanan Tuhan untuk kita yang telah menghapuskan dosa-dosa kita? Ketika kita mendengar Tuhan berkata kepada murid-murid-Nya: “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja sedikit.” (Mat 9:37), adakah kita juga memberikan tindak balas dengan “cara Yesaya”? Ketika Yesus memanggil empat orang murid pada suatu hari, mereka segera meninggalkan jala mereka dan mengikuti Dia. Mereka merupakan teladan terbaik kita (Mat 4:18-22). Kita harus mengerjakan pekerjaan Tuhan, selama masih siang; akan datang malam, di mana tidak ada seorang pun yang dapat bekerja (Yoh 9:4).
Panggilan Samuel juga cukup menarik perhatian. Setelah cerai susu, dia dihantar ke Khemah Suci untuk mengikuti imam dan melayani Tuhan. Dia menerima panggilan Tuhan untuk pertama kalinya pada masa “muda” (mungkin berusia sekitar lima belas atau enam belas tahun, atau bahkan lebih tua). Dengan bimbingan imam Eli, dia menjawab: “Berbicaralah, sebab hamba-Mu ini mendengar“. Sejak itu, Tuhan menyertai dia dan tidak ada satu pun dari firman-Nya itu yang dibiarkan-Nya gugur, dan membangunkan status pelayanan rohaninya (1 Sam 3:10,19-20). Tetapi, masa dari Samuel dipanggil oleh Tuhan sehingga dia berdikari dan benar-benar ditahbiskan adalah satu jangka waktu yang panjang iaitu sehingga masa yang ditentukan oleh Tuhan dinyatakan (1 Sam 7:2-4). Sebelum dan setelah dia dipanggil dengan jelas, dia terus belajar dan bertumbuh dalam pelayanannya, bukan hanya dalam kerja dan karunia pelayanannya, tetapi juga dalam fikiran dan kepercayaannya kepada Tuhan. Sikap yang positif dan berusaha ini seharusnya dimiliki oleh semua orang yang dipanggil.
C. MENYAHUT PANGGILAN DAN MEMPROMOSIKAN RASA AMANAT
Panggilan dan gerakan Tuhan seharusnya tidak menjadi kebangkitan sementara, dan awan akan hilang seiring berjalannya waktu. Panggilan dan gerakan ini harus menjadi titik perubahan dalam mendapatkan “hasil kehidupan” yang membolehkan kita menjadi “Nazir” sepanjang hidup kita (Bilangan 6: 2) dan mengembangkan kerja suci dengan perasaan amanat yang lebih kuat.
1. “Pengenalan diri dalam jabatan rohani” mesti terus ditingkatkan
Paulus berkata: “Namun aku hidup, tetapi bukan lagi aku sendiri yang hidup, melainkan Kristus yang hidup di dalam aku. Dan hidupku yang kuhidupi sekarang di dalam daging, adalah hidup oleh iman dalam Anak Allah yang telah mengasihi aku dan menyerahkan diri-Nya untuk aku.” (Gal 2:20). Dia telah menetapkan posisi baru untuk dirinya sendiri, dan hal-hal yang dahulu merupakan keuntungan baginya sekarang dianggap rugi dan sampah, kerana pengenalan akan Kristus Yesus lebih mulia daripada semuanya (Flp 3:8). Oleh itu, sama seperti Yesus, dia menempuhi jalan penderitaan di Yerusalem, tidak menghiraukan nyawanya sedikit pun, asal saja dia dapat menyelesaikan pelayanan yang ditugaskan oleh Tuhan kepadanya untuk memberikan kesaksian tentang Injil kasih karunia Tuhan (Kis 20:24). Kekuatan dan tekad pelayanan berasal daripada pengenalan diri yang kuat dalam jabatan rohani. Paulus sendiri bersaksi: “Kami telah menerima pelayanan ini, kerana itu kami tidak tawar hati. Saya percaya, maka saya memberitakan dan menyatakan kebenaran.” Oleh itu, dia dapat mengatasi kesulitan dalam persekitaran luaran dan dalaman (2 Kor 4:1-15) . Hari ini, setiap kita yang dipanggil juga harus lebih sedar akan jabatan imamat yang rajani, mempersembahkan persembahan rohani yang berkenan kepada Tuhan, dan memberitakan perbuatan-perbuatan yang besar dari Kristus (1 Ptr 2:5,9).
2. “Rasa tanggungjawab terhadap pelayanan gereja” mesti dibangun secara aktif
Kerja pelayanan seringkali penuh dengan banyak kesulitan. Hal ini kerana Iblis bukanlah calang-calang. Iblis berdiri di atas kuasa yang bermusuhan di merata-rata untuk menghancurkan pekerjaan Tuhan dan menyerang hamba-hamba Tuhan. Jangan menjadi seperti orang Israel ketika mereka membangun semula Bait Suci. Apabila menghadapi rintangan, mereka menjadi putus asa dan berpaling untuk meneruskan perkembangan mata pencarian mereka sendiri, tetapi membiarkan “Rumah ini tetap menjadi reruntuhan” (Yes 4:9-11). Jika pemimpin rohani mengabaikan tanggungjawab pengajaran rohani, tindakan ini pasti akan menjadikan Bait Tuhan kehilangan hormatnya secara beransur-ansur, dan hati pemercaya akan semakin cenderung ke arah dunia sehingga ke tahap mereka tidak lagi kembali.
Adakah kita masih ingat bahawa Tuhan pernah bertanya kepada Petrus sebanyak tiga kali: “Apakah engkau mengasihi Aku?” lalu kemudian mempercayakan tanggungjawab menggembala gereja dan pemercaya kepada Petrus (Yoh 21:15-17)? Dengan cara yang sama, sebelum Tuhan terangkat ke syurga, Dia menyerahkan kerja-kerja pemberitaan Injil dan penyelamatan jiwa kepada kita, generasi-generasi yang seterusnya untuk dikendalikan (Mrk 16:15). Seperti yang difahami oleh Paulus dengan jelas, “pemberitaan itu adalah tugas penyelenggaraan yang ditanggungkan kepadaku”. Oleh itu, dia tidak ada alasan untuk menolak, dan dia menjadikan dirinya hamba dari semua orang, dan segala sesuatu dilakukan supaya dia mendapat bagian dalam Injil (1 Kor 9:16-23) . Marilah kita menjadi hamba yang setia dan baik yang setia dalam perkara kecil. Akhirnya, kita pasti akan memikul tanggungjawab yang berat (Mat 25:21,23; Luk 16:10).
3. “Rasa amanat yang penuh dengan penglihatan” mesti terus berkembang
“Tindakan iman” adalah satu-satunya cara untuk mencapai berkat Tuhan. Setelah Lot berpisah dengan Abraham, janji Tuhan datang kepada Abraham. “Pandanglah sekelilingmu dan lihatlah dari tempat engkau berdiri itu ke timur dan barat, utara dan selatan, sebab seluruh negeri yang kaulihat itu akan Kuberikan kepadamu dan kepada keturunanmu untuk selama-lamanya.” Tuhan juga menyeru kepadanya: “Bersiaplah, jalanilah negeri itu menurut panjang dan lebarnya.” (Kej 13:14,17). Walaupun janji Tuhan ditunaikan pada masa kemudian, namun Abraham telah mewarisi negeri itu dengan iman dan merindukan tanah air yang lebih baik (Ibr 11:13-16). Yosua berkata berdasarkan iman: “Setiap tempat yang akan diinjak oleh telapak kaki kita Tuhan berikan kepada kita, seperti yang telah Tuhan janjikan kepada kita.” (Yos 1:3-4) sehingga dia menakluki tanah Kanaan dan menyempurnakan janji Tuhan tentang memperoleh milik pusaka duniawi.
Hari ini, Tuhan juga berjanji untuk mengaruniakan milik pusaka rohani kepada kita, iaitu setiap jiwa yang diberikan oleh Tuhan kepada kita untuk diselamatkan. Teladanilah Paulus. Dia memahami penglihatan Injil Tuhan dan mengembangkan rasa amanat dalam pelayanan. Kemudian, menjadi rasul bagi bangsa-bangsa asing telah menjadi amanat seumur hidupnya. Dia mengetahui tujuan hidupnya adalah supaya pemercaya makin maju dan bersukacita dalam iman (Flp 1:24-25). Jangan lupa, kita masih memiliki banyak tanah yang belum diterokai, yang masih menunggu kita untuk mengusahakannya dengan rajin. Biarlah kita tetap mempertahankan satu idea dan satu matlamat dalam pelayanan di samping berusaha berlari-lari kepada tujuan untuk memperoleh hadiah Tuhan (Kis 22:21; Gal 2:8; Flp 3:12-14).
KESIMPULAN
Sekali lagi, mari kita renungkan perkataan Tuhan melalui Ananias ketika Paulus dipanggil: “Allah telah menetapkan engkau untuk mengetahui kehendak-Nya, untuk melihat Yang Benar dan untuk mendengar suara yang keluar dari mulut-Nya. Sebab engkau harus menjadi saksi-Nya terhadap semua orang tentang apa yang kaulihat dan yang kaudengar. Dan sekarang, mengapa engkau masih ragu-ragu? Bangunlah, berilah dirimu dibaptis dan dosa-dosamu disucikan sambil berseru kepada nama Tuhan!” (Kis 22:14-16). Paulus benar-benar telah mendengar dan taat pada panggilan ini dan menjadi rasul Kristus. Oleh sebab status Paulus yang istimewa, Tuhan menggunakan cara yang sangat ekstrim untuk memilihnya. Namun hal ini juga membuatkan Paulus berasa sangat bersyukur. Dia berkata: “Tetapi karena kasih karunia Allah aku adalah sebagaimana aku ada sekarang.” Daripada “seorang yang paling berdosa”, dia berubah kepada “rasul,” tetapi dia juga membalas kasih karunia Tuhan dengan tindakan yang praktikal iaitu dengan “bekerja lebih keras daripada mereka semua” (1 Kor 15:10; 1 Tim 1:15-16). Adakah kita juga dapat bersyukur atas kasih karunia panggilan Tuhan, memahami kehendak Tuhan memilih dan memanggil kita, serta bersedia untuk berkongsi tentang kasih karunia Tuhan yang luar biasa dan pengalaman hidup, dan bersaksi kepada semua orang? Kita harus mempunyai pengenalan yang kuat. Tuhan juga telah mengutus kita kepada bangsa-bangsa lain untuk membuka mata mereka supaya mereka berbalik dari kegelapan kepada terang dan dari kuasa Iblis kepada Allah, supaya mereka oleh iman mereka kepada Tuhan memperoleh pengampunan dosa dan mendapat bagian dalam apa yang ditentukan untuk orang-orang yang dikuduskan (Kis 26:18). Ya, semua orang bertanggungjawab dalam kemajuan gereja. Semua pemercaya, terutamanya para pemimpin rohani harus mempunyai rasa tanggungjawab dan rasa amanat yang kuat untuk memastikan perkembangan Kerajaan Tuhan dan merealisasikan impian indah tentang khemah Tuhan ada di tengah-tengah manusia.