PENGENALAN KEPADA KITAB YOSUA
Kitab Yosua merupakan kesinambungan daripada lima kitab Taurat Musa. Isi kandungan lima kitab Taurat adalah koheren dan peristiwa yang dijelaskan pada akhir setiap fasal bukanlah pengakhiran yang statik, tetapi dengan sifat yang berharap iaitu berfungsi sebagai bayangan bagi klimaks yang lain. Kitab Ulangan berada di bahagian akhir lima kitab Taurat dan berakhir dengan saat umat pilihan bakal memasuki negeri yang dijanjikan. Dengan pemergian Musa, tugas bertahap generasi pemimpin pertama akhirnya diselesaikan. Selepas itu, pemimpin baru, Yosua akan tampil, dan halaman baru bagi sejarah umat pilihan juga didedahkan. Jasa besar Musa ialah menyeberangi Laut Teberau, jasa besar Yosua pula ialah menyeberangi sungai Yordan. Yang pertama adalah untuk melepaskan diri daripada perbudakan manakala yang kedua adalah untuk memasuki kebebasan dan menikmati milik pusaka. Dua bahagian utama ini terdapat dalam rancangan penyelamatan dan penebusan Tuhan. Jika hanya ada “keluar dari Mesir” tetapi tidak ada “memasuki Kanaan”, kerja penyelamatan dan penebusan tidak dikira selesai. Tuhan berjanji kepada Abraham bahawa keturunannya akan mewarisi tanah Kanaan, dan janji itu akhirnya ditunaikan sekarang. Kitab Yosua mencatatkan kisah Yosua memimpin pertempuran tentera untuk merebut negeri yang dijanjikan daripada orang Kanaan dan membahagikannya kepada dua belas suku Israel sebagai milik pusaka.
Sejarah menyerang kota dan merampas negeri, mendudukinya dan memilikinya sebenarnya merupakan gambaran “Kerajaan Sorga diserong” (Mat 11:12, teks asal “Kerajaan Syurga dirampas”). Namun, Kanaan bukan lambang kepada syurga kerana tidak ada lagi peperangan di syurga. Maksudnya, orang Kristian dipimpin oleh Tuhan untuk memasuki kehidupan yang berkelimpahan. “Yosua” dalam bahasa Yunani disebut sebagai “Yesus”, yang bermaksud Juruselamat. Oleh itu, Yosua melambangkan Kepala gereja, Kristus. Dia mahu supaya semua janji dipenuhi dalam gereja. Oleh itu, banyak peristiwa dan prinsip dalam kitab ini adalah sebagai inspirasi bagi pengalaman rohani orang Kristian serta memberi kita banyak contoh dari segi iman, ketaatan, ketekunan dan kepemimpinan rohani.
Tentang penulis kitab ini, sebahagian besar menerima bahawa kitab ini ditulis oleh Yosua kerana dia memiliki kebolehan untuk menulis (rujuk 24:25-26). Tentu sekali, sebahagian kecilnya perlu ditambah oleh orang lain (selepas 24:29). Disiapkan sekitar awal zaman para hakim.
A. Kitab ini boleh dibahagikan kepada empat bahagian:
1. Fasal 1-5 adalah tentang memasuki Kanaan (termasuk menyeberangi sungai, mengintip, dan berkhemah)
2. Fasal 6-12 adalah tentang menakluki Kanaan (termasuk pertempuran pertama, kemenangan di kedua-dua perang utara dan selatan)
3. Fasal 13-22 adalah tentang menduduki Kanaan (termasuk pembahagian tanah, pendirian kota-kota perlindungan, dan pembinaan mezbah)
4. Fasal 23-24 adalah tentang kematian Yosua
B. Banyak orang yang membaca dan mengkaji kitab ini sering membandingkannya dengan kitab Efesus. Hal ini kerana kedua-dua kitab itu mencatatkan kasih karunia Tuhan yang menyediakan negeri yang baik untuk umat pilihan, kedua-duanya saling melengkapi, saling menerima dan saling bergantung.
1. Berjanji memberikan milik pusaka (Kej 13:14-15; Yos 1:2-3) (Ef 1:3-4,11)
2. Taat pada pimpinan Kepala (Yos 5:13-15) (Ef 4:11-16)
3. Menghadapi pelbagai peperangan rohani (Yos 10:14,42, 23:3,10) (Ef 6:10-18)
4. Mendapat hadiah oleh iman (Yos 1:1-3) (Ef 2:8)
C. Terdapat beberapa tema utama yang ingin diperlihatkan dalam kitab ini. Tema-tema ini juga merupakan sikap kehidupan yang harus dibentuk oleh orang Kristian.
1. Kehidupan yang beriman. Sejak keluar dari Mesir, menyeberangi Laut Teberau hinggalah menyeberangi sungai Yordan, umat berada dalam persekitaran yang terpencil dan terbiar. Mereka menghadapi segalanya dengan iman. Sesudah kaki mereka berhenti di dalam air sungai, maka air sungai berhenti mengalir dan melonjak menjadi bendungan. Umat mengelilingi kota selama enam hari, meniup sangkakala dan bersorak pada hari ketujuh seperti yang diperintahkan oleh Tuhan, lalu tembok kota itu runtuh. Tuhan juga memerintahkan matahari dan bulan untuk berhenti supaya mereka dapat maju berperang membunuh musuh. Tanpa iman, tidak mungkin orang berkenan kepada Tuhan. Janji Tuhan mesti diperoleh dengan iman. Jika beriman, kita pasti akan melihat kemuliaan Tuhan.
2. Kehidupan yang berperang. Kanaan diperoleh melalui peperangan. Kehidupan iman kepercayaan kita juga merupakan peperangan, iaitu melawan roh-roh jahat di udara. Oleh itu, kita harus mengenakan seluruh perlengkapan senjata dan memperlengkapi diri kita sendiri. Persahabatan dengan dunia adalah permusuhan dengan Tuhan. Iblis berjalan keliling sama seperti singa yang mengaum-aum dan sentiasa mencari sasaran yang dapat ditelannya. Sekiranya tidak berhati-hati, kita pasti akan dibunuh oleh si jahat. Semakin dekat penghujungnya, si jahat semakin agresif dan berjalan ke merata tempat. Oleh itu, semua orang yang tidur secara rohani harus bangun secepat mungkin, bersedia untuk berperang pada bila-bila masa dan berwaspada seperti gadis-gadis yang bijaksana.
3. Kehidupan yang mendapat kemenangan. Syarat kemenangan dalam peperangan rohani ialah kekudusan. Oleh itu, setelah menyeberangi sungai, Yosua menyunat umat Israel terlebih dahulu supaya mereka dikuduskan bagi Tuhan (teruna-teruna ini dilahirkan di padang gurun dan belum disunat). Tanpa kekudusan, tidak seorang pun akan melihat Tuhan. Kejarlah kekudusan supaya dipandang layak untuk dipakai tuannya, menjadi perabot rumah untuk maksud yang mulia. Tambahan pula, peperangan memerlukan panglima, dan Tuhan sendiri bersetuju untuk menjadi panglima ini. Hari ini, kita tidak berperang dengan darah dan daging atau kekuatan kita sendiri, tetapi dengan Roh Kudus. Kita hanya boleh menang dengan bertumbuh di dalam segala hal ke arah Kristus, yang adalah Kepala.
D. Selain itu, kita mesti menerima beberapa mesej daripada kitab ini:
1. Kesetiaan Tuhan tidak ada yang tidak dipenuhi (21:45)
2. Kita harus menerima janji Tuhan dengan berani (1:3,11). Berkat yang dijanjikan itu sudah ada di depan mata. Iman yang disertai perbuatan merupakan iman kepercayaan yang hidup dan aktif.
3. Segala dosa dan kejahatan ialah kekejian bagi Tuhan. Pembunuhan tujuh bangsa di tanah Kanaan adalah kerana kekejian Tuhan terhadap dosa. Namun, peristiwa Rahab (fasal 2) diselamatkan melambangkan darah Yesus yang bernilai akan menyelamatkan semua orang yang bertaubat.
4. Peperangan dalam kitab ini semuanya ada perlambangan peperangan rohani. Orang Kanaan melambangkan semua jenis keinginan, dosa dan kejahatan, serta semua musuh rohani. Kita dapat mengalahkan semuanya dengan bersandarkan pimpinan Tuhan Kristus. Biarlah penguasa dunia ini tidak berkuasa sedikit pun atas diri kita.
Tuhan berjanji: “Setiap tempat yang akan diinjak oleh telapak kakimu Kuberikan kepada kamu.” (1:3). Tetapi malang sekali, akhirnya mereka tidak berjaya. Hal ini kerana:
5. Tidak pernah merebut tanah pesisir yang dijajah oleh orang Filistin.
6. Bersekutu dengan Gibea, yang menjadi punca malapetaka.
7. Tidak benar-benar menghapuskan musuh yang dikalahkan dalam peperangan. Oleh itu, kita harus berusaha sedaya upaya untuk menjadi kawan sekerja Tuhan supaya kehendak Tuhan terlaksana.
“Engkau telah tua dan lanjut umur, dan dari negeri ini masih amat banyak yang belum diduduki.” (13:1). Kerjakanlah pekerjaan, selama masih siang. Jangan tunggu sehingga kehilangan peluang baru menyesal. Sesal kemudian tidak berguna. Kita harus merenungkan sama ada kita telah menggunakan kehidupan yang diberikan oleh Tuhan kepada kita dengan sepenuhnya dan menginjak negeri yang dijanjikan itu dengan telapak kaki kita.
KESIMPULAN
Secara ringkasnya, kitab ini bertujuan untuk mendorong kita agar menguatkan dan meneguhkan hati kita. Jangan undur, sandarlah kepada Tuhan Kristus dalam menempuh jalan syurgawi, melangkahlah ke arah tujuan, dan terimalah dorongan indah yang diberikan.