PERBEZAAN BERMACAM-MACAM ROH
(Xie Hong Jun)
Dunia ini terbahagi kepada dunia fizikal dan dunia rohani. Dunia fizikal diterokai oleh para saintis, dan dunia rohani dicari oleh para sarjana agama. Dengan pernyataan Tuhan dan ajaran Alkitab, manusia dapat memahami sedikit sebanyak tentang dunia rohani. Oleh itu, kita mencari dunia bermacam-macam roh hanya berdasarkan Alkitab.
Terdapat kira-kira lima jenis roh yang muncul dalam Alkitab: Roh Tuhan, roh malaikat, roh jahat / Iblis, roh manusia, dan roh binatang. Kita menghuraikan sifat-sifat dan ciri-ciri bermacam-macam roh seperti berikut:
A. Roh Tuhan
Tuhan itu Roh (Yoh 4:24), esa (Ul 6:4), telah ada sejak awal (Yes 44:6), AKU ADALAH AKU (Kel 3:14), kekal (Yes 40:28), Yang Maha Tahu (1 Yoh 3:20), Maha Kuasa (Mat 19:26), Maha Ada (Yer 23:23).
Sifat Tuhan: Kudus (Im 11:44), adil (Yes 45:21), pengasih (Kel 34:6) dan setia (Ul 32: 4) (1 Kor 1:9).
Sifat ini saling berkaitan dan tidak akan bertentangan atau bercanggahan. Sifat Tuhan sedemikian rupa sehingga Dia menghendaki manusia belajar dan meneladani sifat-Nya supaya boleh mengambil bahagian dalam kodrat ilahi (2 Ptr 1:4).
Tuhan menciptakan langit dan bumi dan segala sesuatu dengan kata-kata. Sebab Dia berfirman, maka semuanya jadi; Dia memberi perintah, maka semuanya ada (Mzm 33:9). Hal ini menunjukkan kebijaksanaan dan keagungan Tuhan (Mzm 104:24, 8:2). Dia menopang segala yang ada dengan kuasa-Nya (Ibr 1:3), melindungi / menyelamat dan mentadbir (Mzm 36:7, 119:91).
Nama Tuhan dalam bahasa Ibrani Perjanjian Lama tidak disebut “Yehuwa”, tetapi “Adonai” – yang bermaksud “Tuhan”. Hal ini kerana orang Yahudi tidak berani menyebut nama Tuhan dengan sembarangan lalu menggantikan sebutan Tuhan yang asli dengan adonai. Sebutan “Yehuwa” merupakan gabungan konsonan asal dengan vokal adonai. Maka, para teologi sekarang menggunakan konsonan dan vokal asal untuk menyebutnya secara langsung sebagai “Yahweh”. Walau bagaimanapun, sebutan ini hanya sebutan yang paling berkemungkinan, bukan sebutan yang mutlak. Nama Tuhan yang sebenar tidak disahkan sehingga nama “Yesus” dinyatakan. Yesus berkata dalam doa-Nya kepada Bapa: “Aku telah menyatakan nama-Mu kepada semua orang, yang Engkau berikan kepada-Ku dari dunia.” (Yoh 17:6). Nama Tuhan ialah “Yesus” (Yoh 17:26). Oleh itu, semasa memberitakan Injil, rasul berkata: “Sebab di bawah kolong langit ini tidak ada nama lain yang diberikan kepada manusia yang olehnya kita dapat diselamatkan.” (Kis 4:12).
B. Roh malaikat
Roh malaikat diciptakan oleh Tuhan (Mzm 148:2-6; Kol 1:16). Roh malaikat juga dikenali sebagai anak-anak Allah (Ayb 1:6, 38:7), dan nampaknya mereka menyaksikan proses Tuhan menciptakan segala sesuatu. Roh malaikat tidak ada jantina lelaki dan perempuan, dan juga tidak ada keperluan untuk berkahwin (Mat 22:30), tidak ada kematian (Luk 20:36), dan boleh menampakkan diri supaya dilihat oleh manusia.
Malaikat merupakan utusan Tuhan yang berorganisasi (Mat 26:53). Antaranya termasuk penghulu malaikat Mikhael (Yud 9), Gabriel (Dan 9:21), kerub (Kej 3:24), Serafim (Yes 6:2). Malaikat diutus oleh Tuhan ke merata tempat untuk menyelamatkan orang-orang yang takut akan Tuhan (Mzm 34:8). Malaikat juga menjaga anak-anak kecil Tuhan pada bila-bila masa dan di mana-mana saja, dan melaporkannya kepada Bapa (Mat 18:10). Roh malaikat ialah roh-roh yang melayani, yang diutus untuk melayani mereka yang harus memperoleh keselamatan (Ibr 1:14) dan tidak boleh disembah oleh manusia (Why 19:10). Ada malaikat yang muncul dengan enam sayap; dua sayap dipakai untuk menutupi muka mereka – supaya semua kemuliaan diberikan kepada Tuhan, dua sayap dipakai untuk menutupi kaki mereka – supaya semua pergerakan mereka ditetapkan oleh Tuhan, dan dua sayap dipakai untuk melayang-layang – supaya menyelesaikan kerja yang dipercayakan dengan segera (Yes 6:2). Roh malaikat juga muncul sebagai manusia, boleh bercakap atau makan bersama dengan manusia (Kej 19:12-22).
Pada hari kiamat, malaikat akan menemani Tuhan Yesus turun dari syurga (1 Tes 4:16).
Ada malaikat yang berdosa, tidak taat pada batas-batas kekuasaan mereka dan meninggalkan tempat kediaman mereka (Yud 6). Sebab jikalau Allah tidak menyayangkan malaikat-malaikat yang berbuat dosa tetapi melemparkan mereka ke dalam neraka dan dengan demikian menyerahkannya ke dalam gua-gua yang gelap untuk meyimpan mereka sampai hari penghakiman (2 Ptr 2:4). Sebab sesungguhnya, bukan malaikat-malaikat yang Ia kasihani (Ibr 2:16).
Pada zaman Nuh, anak-anak Allah menghampiri anak-anak perempuan manusia, dan melahirkan orang-orang raksasa. Kejahatan manusia besar di bumi. Maka, Tuhan memusnahkannya dengan air bah. Anak-anak Allah di sini tidak merujuk kepada malaikat, kerana Yesus mengatakan bahawa malaikat tidak berkahwin. Jadi anak-anak Allah di sini adalah merujuk kepada anak-anak milik Tuhan, yang merupakan keturunan Set, manakala anak-anak perempuan manusia pula merujuk kepada keturunan Kain. Oleh sebab hubungan perkahwinan, orang-orang yang menyembah Tuhan telah menerima pengaruh yang tidak baik dan telah rosak. Bumi juga penuh dengan kekerasan.
C.Roh jahat / Iblis
Alkitab tidak menggambarkan asal-usul roh jahat / Iblis secara langsung. Roh jahat / Iblis dapat dikaitkan secara tidak langsung sebagai malaikat yang jatuh / diturunkan menjadi roh jahat / Iblis daripada dua pernyataan yang pada asalnya merujuk kepada Babel dan Tirus (Yes 14:12-15; Yeh 28:13-17). Di antara dua perjanjian, Qumran menyebutkan bahawa Tuhan menciptakan roh terang dan roh kegelapan untuk memenuhi kehendak Tuhan. Ayat yang paling dekat dalam Alkitab ialah: “Yang menjadikan terang dan menciptakan gelap, yang menjadikan nasib mujur dan menciptakan nasib malang; Akulah TUHAN yang membuat semuanya ini.”(Yes 45:7). Rabi agama Yahudi percaya bahawa roh jahat / Iblis ialah malaikat yang jatuh, dan roh jahat / Iblis juga merupakan pendakwa / pengadu manusia di hadapan Tuhan (TDNT, Kamus Teologi Perjanjian Baru, edisi Kittel, Grand Rapids: Eerdmans, 1973, Satanas, hlm. 152-156). Namun Alkitab tidak pernah menyebutkan keadaan roh jahat / Iblis sebelum kejatuhannya, hanya menekankan bahawa dia pembunuh manusia sejak semula (Yoh 8:44) yang membunuh Adam dan Hawa. Roh jahat / Iblis berbuat dosa dari mulanya (1 Yoh 3:8), iaitu dosa bangga / angkuh yang tidak taat pada batas-batas kekuasaan mereka; dosa licik yang menggoda Hawa; dan dosa iri hati yang tidak puas hati dengan kepedulian Tuhan terhadap manusia.
Roh jahat / Iblis disebut Satan (Syaitan), yang bermaksud “melawan” dan “bertentangan”. Roh jahat / Iblis juga disebut ular tua dan naga besar (Why 12:9). Malaikat gelap disebut “Belial” yang bermaksud “rendah darjat”, “bersalah”, dan “tidak mematuhi undang-undang” (2 Kor 6:15). Perkataan asal “penjenayah” dalam bahasa Ibrani ialah “anak Belial”. Satan (Syaitan) juga disebut Beelzebul, yang bermaksud “raja lalat” atau “raja timbunan najis” (Mrk 3:22) (rujuk Ensiklopedia Alkitab, Belial dan Beelzebul).
Terdapat dua keadaan bagi hukuman Satan (Syaitan): “sudah” dan “belum”. Sudah – “penguasa dunia telah dihukum” (Yoh 16:11); belum – “Sekarang berlangsung penghakiman atas dunia ini: sekarang juga penguasa dunia ini akan dilemparkan ke luar.” (Yoh 12:31). Iblis mencobai Yesus sebanyak tiga kali tetapi gagal, dan akhirnya memasuki Yudas supaya mengkhianati Yesus.
Iblis akan menampi murid-murid seperti gandum (Luk 22:31). Contohnya mengadukan Ayub di hadapan Tuhan, menuduh / mendakwa kelemahan dan kekurangan di hati murid-murid. Petrus menghalang anuegrah keselamatan Yesus dan ditegur sebagai Iblis (Mat 16:23). Walau bagaimanapun, Yesus mengalahkan Satan (Syaitan) sehingga ia tidak lagi dapat menggugat orang-orang yang dipilih dan dibenarkan oleh Yesus (Rm 8:33; Why 12:10).
Terdapat banyak penyakit yang berkaitan dengan pekerjaan roh jahat / Iblis. Setelah setan orang bisu diusir, dia dapat berkata-kata (Mat 9:32-33). Seorang perempuan telah lapan belas tahun dirasuk roh sehingga ia sakit sampai bungkuk punggungnya dan tidak dapat berdiri lagi dengan tegak. Kemudian, Yesus mengusir roh itu dan menyembuhkannya pada hari Sabat (Luk 13:10-16). Lelaki Gerasa yang dirasuk roh jahat disembuhkan dan sudah waras (Mrk 5:15).
Muslihat roh jahat / Iblis adalah untuk membinasakan manusia. Ia mahu supaya manusia masuk ke neraka dan dihukum bersama dengannya (Why 12:12). Iblis pun menyamar sebagai malaikat Terang, mengadakan tanda dan mukjizat, menipu dan menyesatkan umat pilihan (2 Kor 11:14). Iblis juga memanfaatkan peluang dan tahap ketika nafsu manusia terangsang dan tidak tahan bertarak dengan menggoda mereka untuk berdosa (1 Kor 7:5).
Iblis juga menaburkan benih lalang dalam gereja sehingga dosa dan kejahatan memasuki gereja. Sedikit ragi mengkhamiri seluruh adonan (1 Kor 5:6).
Seluruh dunia berada di bawah kuasa si jahat (1 Yoh 5:19). Iblis juga dipanggil penguasa dunia. Apabila Yesus ditangkap, saat itulah kuasa kegelapan (Luk 22:53).
Tuhan Yesus memberikan kuasa mengusir roh jahat / Iblis kepada murid-murid sehingga setan-setan juga takluk kepada mereka (Luk 10:17). Namun, murid-murid juga merasakan kegagalan tidak dapat mengusir roh jahat / Iblis (Mrk 9:28-29). Oleh itu, kenakanlah seluruh perlengkapan senjata Allah supaya dapat bertahan melawan tipu muslihat Iblis (Ef 6:11-17). Masa ini masih merupakan masa untuk berperang. Iblis akan dilepaskan untuk sedikit waktu lamanya (Why 20:3). Ia akan pergi menyesatkan bangsa-bangsa pada keempat penjuru bumi, naik ke seluruh dataran bumi, lalu mengepung perkhemahan tentera orang-orang kudus dan kota yang dikasihi itu. Iblis akan dilemparkan ke dalam lautan api dan belerang, diseksa siang malam sampai selama-lamanya (Why 20:7-10).
D. Roh manusia
Roh manusia diciptakan oleh Tuhan. Tuhan membentuk manusia daripada debu tanah dan menghembuskan nafas hidup ke dalam hidungnya; demikianlah manusia itu menjadi makhluk yang hidup (Kej 2:7). Tuhan juga menciptakan laki-laki dan perempuan menurut gambar-Nya (Kej 1:26-27). Gambaran Tuhan bukanlah penampilan fizikal, tetapi sifat rohani di dalam kebenaran dan kekudusan yang sesungguhnya (Ef 4:24).
Tuhan menciptakan Adam dan Hawa. Selepas itu, tubuh dan jiwa rohani keturunan manusia berasal daripada Adam satu orang. Mereka dilahirkan menurut hukum pembiakan, tidak berkesudahan, terus berkembang, dan diturunkan dari generasi ke generasi. Tuhan merupakan Pencipta secara tidak langsung (Yes 57:16; Za 12:1; Ibr 12:9). Apabila kehidupan manusia berakhir, tubuh daging kembali menjadi debu tanah dan roh kembali kepada Tuhan yang mengaruniakannya (Pkh 12:7). Mereka akan menerima keputusan penghakiman hidup yang kekal atau seksaan yang kekal di hadapan tempat penghakiman Tuhan (Ibr 9:27; Mat 25:46). Oleh itu, roh manusia tidak akan pernah lenyap.
Terdapat empat tahap dalam roh manusia: 1. Keadaan bebas sebelum Adam berdosa – boleh tidak berbuat dosa dan boleh berbuat dosa. 2. Keadaan dosa asal setelah Adam berdosa – tidak boleh tidak berbuat dosa. 3. Keadaan dibenarkan selepas diselamatkan dan ditebus oleh Yesus – boleh tidak berbuat dosa dengan pertolongan Roh Kudus. 4. Tubuh rohani setelah kebangkitan pada hari kiamat – tidak berbuat dosa untuk selamanya.
Walaupun roh dan jiwa menggunakan istilah yang berbeza dalam bahasa Yunani, namun adalah sukar untuk membezakan kedua-duanya dengan jelas. Roh (pneuma) juga mempunyai maksud angin dan nafas. Setelah roh meninggalkan tubuh, tubuh akan mati (Yak 2:26). Tetapi jika Kristus ada di dalam kamu, maka tubuh memang mati karena dosa, tetapi roh adalah kehidupan oleh karena kebenaran (Rm 8:10). Setelah dibaptis, kamu akan hidup dalam hidup yang baru, supaya kamu dibaharui di dalam roh dan pikiranmu (pneuma) (Ef 4:23).
Jiwa (psyche) bermaksud hidup dan semangat. Eutikhus mati kerana terjatuh dari tingkat ketiga. Paulus berkata: “Ia masih hidup (psyche).” (Kis 20:10). Jiwa juga merupakan pusat pelbagai emosi. Perintah terbesar ialah kasihilah Tuhan, Allahmu dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu (psyche) dan dengan segenap akal budimu dan dengan segenap kekuatanmu (Mrk 12:30).
Oleh itu, istilah roh dan jiwa mempunyai beberapa kesan yang sinonim. Ada yang serupa, tetapi ada juga yang berbeza. Maka, Paulus menyebutkan semua itu: “Semoga Allah damai sejahtera menguduskan kamu seluruhnya dan semoga roh, jiwa dan tubuhmu terpelihara sempurna dengan tak bercacat pada kedatangan Yesus Kristus, Tuhan kita.” (1 Tes 5:23).
E. Roh binatang
Karena nasib manusia adalah sama dengan nasib binatang, nasib yang sama menimpa mereka; sebagaimana yang satu mati, demikian juga yang lain. Kedua-duanya mempunyai nafas yang sama, dan manusia tak mempunyai kelebihan atas binatang, karena segala sesuatu adalah sia-sia. Kedua-duanya menuju satu tempat; kedua-duanya terjadi dari debu dan kedua-duanya kembali kepada debu. Siapakah yang mengetahui, apakah nafas manusia naik ke atas dan nafas binatang turun ke bawah bumi (Pkh 3:19-21). Sebenarnya, tidak ada yang tahu samada mereka akan naik ke atas atau turun ke bawah.
Perbezaan terbesar antara roh binatang dengan roh manusia adalah bahawa manusia mempunyai gambaran Tuhan, tetapi binatang tidak. Binatang juga hidup di bawah perlindungan Tuhan. Contohnya, Tuhan membuka mulut keldai nabi Bileam untuk berkata-kata (Bil 22:28-30).
Dalam Kerajaan Damai Tuhan pada masa kelak, serigala akan tinggal bersama domba dan macan tutul akan berbaring di samping kambing. Anak lembu dan anak singa akan makan rumput bersama-sama, dan seorang anak kecil akan menggiringnya (Yes 11:6-9).
Dalam kehidupan di taman Eden, semua tumbuh-tumbuhan hijau menjadi makanan segala binatang di bumi (Kej 1:30).
Perbezaan bermacam-macam roh memerlukan pertolongan Roh Kudus agar tidak tertipu dengan penyamaran roh jahat / Iblis, dan tidak mengabaikan atau melengah-lengahkan wahyu Tuhan. Doakan agar kasih karunia Tuhan memimpin.