PENGENALAN PERJANJIAN LAMA

PENGENALAN PERJANJIAN LAMA

WACANA UMUM

“Alkitab” boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. “Perjanjian” ini bermaksud: hukum yang telah ditetapkan oleh Tuhan dengan manusia untuk melaksanakan penyelamatan dan penebusan-Nya yang melepaskan umat manusia daripada belenggu dosa serta menunaikan janji-Nya kepada umat manusia (Ibr 8:6-13). Pada prinsipnya, hukum, fakta sejarah dan ayat suci yang dicatatkan sebelum kelahiran Tuhan Yesus secara kolektif disebut sebagai “Perjanjian Lama”, manakala apa-apa yang dicatatkan selepas kelahiran Tuhan Yesus disebut sebagai “Perjanjian Baru”. Tidak kira Perjanjian Lama atau Perjanjian Baru, kedua-duanya mempunyai kedudukan yang sama penting. Oleh yang demikian, kajian tentang kedua-dua perjanjian ini tidak boleh berat sebelah dengan hanya fokus pada Perjanjian Baru atau sebahagian daripadanya.

Terdapat 66 gulungan kitab dalam keseluruhan Alkitab. Perjanjian Lama mengandungi 39 gulungan kitab dan Perjanjian Baru mengandungi 27 gulungan kitab (3×9=27 supaya mudah diingat) dengan 1189 fasal dan 31173 ayat. “Penulis” keseluruhan kitab pula ada kira-kira empat puluh orang. Alkitab mengambil masa lebih daripada 1900 tahun untuk disiapkan. Walaupun jarak masanya adalah sangat jauh, namun kedua-dua Perjanjian ini mempunyai pemikiran pusat yang sama iaitu “penyelamatan dan penebusan.” Jika dilihat dari segi Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru, kitab Perjanjian Lama menunjukkan “Yesus Kristus” yang akan dilahirkan pada masa akhir. Oleh itu, kitab Perjanjian Lama bukan hanya merangkumi perihal kemanusiaan dan sejarah, bahkan nubuat dan perlambangan tentang Kristus boleh didapati di mana-mana sahaja. Maka, Perjanjian Lama boleh disebut sebagai bayangan dan cetak biru (blue-print) Kristus (penyelamat) masa depan. Sejarah, nubuat dan perlambangan yang tercatat di dalamnya semuanya mencerminkan “Yesus Kristus”. Perjanjian Baru pula merupakan pernyataan bagi wujud Kristus. Mula-mula sekali, empat gulungan kitab Injil yang pertama telah menjelaskan kehidupan dan ajaran Yesus. Catatan-catatan ini kemudiannya memberi manfaat kepada pembangunan gereja / jemaat dan pembentukan doktrin pada kemudian hari untuk membentuk skala kebenaran. Dengan itu, Injil yang menyelamatkan manusia juga telah berkembang. Oleh itu, setiap gulungan kitab dalam Perjanjian Baru juga menunjukkan “pembangunan gereja / jemaat“ sebagai pusat mesejnya. Maka, kita dapat melihat “skala penyelamatan Kristus”, “kedatangan semula Yesus pada hari kiamat” dan “cara menyambut kedatangan semula Kristus” daripada Perjanjian Baru.

Bagi sumber maklumat asal Alkitab, “Naskah Laut Mati” yang disimpan di Muzium Sejarah di Yerusalem boleh dikira sebagai sumber yang paling mempunyai maksud dan impak zaman-berzaman. Naskah ini merupakan manuskrip bagi seluruh Perjanjian Lama yang dituliskan dalam bahasa Ibrani dan dari tangan mazhab Essene (Essene Community) dalam agama Yahudi. Sebelum kedatangan Kristus ke dalam dunia, mereka memilih Qumran di Yudea di pantai barat Sungai Yordan sebagai tempat untuk menghindari kekacauan daripada banyak peraturan dan hukum dalam mazhab ortodoks. Kemudian, oleh sebab takut pada rampasan tentera Rom dan demi melindungi klasik kuno sepenuhnya daripada dirosakkan, maka semua rahib abdi digerakkan untuk menyalin ayat suci tersebut fasal demi fasal dengan menggunakan kulit domba yang mudah diperoleh pada waktu itu. Kulit domba susu atau kulit domba ini masih terpelihara dengan baik walaupun selepas lebih daripada dua ribu tahun kerana iklim yang sangat kering berhampiran Laut Mati. Selepas gempa bumi besar yang berlaku pada tahun 31 SM, Qumran menjadi tempat reruntuhan yang terbiar. Keadaan ini membolehkan bahan-bahan bersejarah ini terpelihara dengan baik.

Penemuan skrol ini adalah dikatakan sedemikian: pada tahun 1947, seorang anak gembala Arab menemukan sebuah gua di atas tanah yang ditutupi rumput-rumpai dan batu-bata ketika mencari seekor domba yang hilang. Dia mendengar suara seramik yang jelas daripada gema lontaran batunya. Anak gembala itu masuk ke dalam gua untuk meninjau keadaan di dalamnya kerana rasa ingin tahu dan secara tidak sengaja menjumpai beberapa bekas setinggi dua kaki. Pada mulanya, dia beranggapan bahawa dia telah menemukan harta karun kuno. Namun, dia berasa amat kecewa kerana selain beberapa keping duit syiling tembaga, semuanya merupakan gulungan kulit domba. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa penemuannya itu ialah kebenaran klasik yang memberi impak kepada generasi-generasi pada kemudian hari dan nilainya jauh lebih tinggi daripada emas dan perak di dalam dunia. Sejak berita tersebut tersebar, ahli sejarah, ahli arkeologi dan pegawai kerajaan yang berkenaan datang satu demi satu. Mereka menemukan 60 gulungan kulit domba dalam sebelas buah lubang yang berbeza. Bahagian dalamnya ditulis padat dalam bahasa Ibrani kuno. Hasil penemuan ini kemudiannya dianggap sebagai permata yang tiada tolok bandingnya oleh ahli sejarah dan ahli agama. Isi kandungannya merangkumi Perjanjian Lama, dan beberapa bahan sejarah yang berkaitan dengan Yesus iaitu sebelum Dia dilahirkan dan ketika Dia masih hidup.

 

SUNTINGAN SEJARAH

Sejarah yang berkaitan dengan umat pilihan Tuhan dan pelbagai hukum Taurat telah tersebar dalam kalangan masyarakat Yahudi untuk ribuan tahun. Maklumat-maklumat ini pernah menjadi tumpuan para sarjana agama. Jika diperhatikan, kita tidak hanya dapat melihat keunikan bangsa Ibrani dan perbuatan yang ditunjukkan oleh Tuhan dalam kalangan mereka tetapi maklumat-maklumat ini juga membuatkan para ahli sejarah memberi perhatian khusus kepada bangsa Yahudi dan koleksi klasik mereka.

Menurut kajian Joseph, ahli sejarah Yahudi, kesimpulan yang diperoleh adalah seperti berikut: Tiga puluh sembilan gulungan kitab Perjanjian Lama telah disunting menjadi jilid sebelum tahun 400 SM. Kemudian, Alkitab bahasa Ibrani diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani iaitu Septuaginta yang menjadi terjemahan terkenal. Dengan kata yang lain, adalah dapat dipastikan bahawa kerja ini diselesaikan pada antara tahun 285 – 200 SM dengan terjemahan bersama oleh lebih daripada 70 orang ahli kitab Yahudi di Iskandariah, Mesir.

 

PEMBAHAGIAN KITAB PERJANJIAN LAMA

Jika melihat tiga puluh sembilan gulungan kitab dalam Perjanjian Lama, kita masih dapat melihat bahawa Perjanjian Lama disusun menurut kemajuan sejarah walaupun urutannya tidak disusun mengikut waktu sejarah, Berdasarkan sifat setiap gulungan, Perjanjian Lama dapat diklasifikasikan kepada empat kategori: kitab (kategori) Taurat, kitab (kategori) sejarah, kitab (kategori) hikmat dan kitab (kategori) nabi-nabi.

1. Kitab Taurat:

Kejadian, Keluaran, Imamat, Bilangan, Ulangan.

2. Kitab sejarah:

Yosua, Hakim-hakim, Rut, 1&2 Samuel, 1&2 Raja-raja, 1&2 Tawarikh, Ezra, Nehemia, Ester.

3. Kitab hikmat:

Ayub, Mazmur, Amsal, Pengkhotbah, Kidung Agung.

4. Kitab nabi-nabi:

Yesaya, Yeremia, Ratapan, Yehezkiel, Daniel, 12 kitab nabi kecil (Hosea, Yoel, Amos, Obaja, Yunus, Mikha, Nahum, Habakuk, Zefanya, Hagai, Zakharia, Maleakhi).

Kitab-kitab di atas dibahagikan mengikut susunan dalam Perjanjian Lama untuk memudahkan pemahaman dan ingatan. Berikut akan diperkenalkan satu persatu berdasarkan klasifikasi :

1. Kitab Taurat

Kejadian, Keluaran, Imamat, Bilangan, Ulangan

     A. Panduan kitab Taurat

Kitab Taurat merangkumi: Kejadian, Keluaran, Imamat, Bilangan, Ulangan. Secara umumnya, kitab-kitab ini dikenalpasti berasal daripada tulisan tangan Musa. Mungkin kerana Musa yang membentangkan hukum Taurat, maka kitab-kitab ini biasanya disebut sebagai Lima Kitab Musa. Berdasarkan urutan tahun penulisannya, adalah wajar bahawa lima kitab ini disenaraikan pada bahagian awal Alkitab.

Adalah sangat penting untuk dinyatakan bahawa: Iman kepercayaan dan kebiasaan orang Israel telah banyak dipengaruhi oleh lima kitab ini untuk ribuan tahun. Selepas awal abad pertama, Kerajaan Rom berkembang daripada sebuah negara yang memberikan penganiayaan yang paling teruk terhadap Yesus kepada sebuah negara yang menjadikan agama Kristian sebagai agama kebangsaan. Sejak itu, masyarakat Barat mengalami perubahan yang besar dan budaya Kristian menjadi asas budaya Barat selepas itu. Oleh itu, dari zaman Rom hingga ke negara-negara Barat zaman moden, Lima Kitab Musa boleh dikatakan telah menghasilkan fungsi-fungsi berikut: pencerahan akademik, rangsangan pemikiran dan mengilhami karya seni. Contohnya: pembentukan sistem keluarga (monogami); kebebasan, kesamarataan dan semangat persaudaraan; disiplin yang mematuhi undang-undang; perkembangan seni keagamaan (seni dan muzik) … dan lain-lain. Semuanya berasal daripada prinsip-prinsip hukum Taurat dalam Alkitab. Hal ini dapat memperlihatkan bahawa pengaruh Lima Kitab Musa kepada generasi seterusnya adalah sangat mendalam dan jauh. Secara tidak langsung, seluruh isi kandungan budaya mereka adalah berkait rapat dengan Alkitab dan tidak dapat dipisahkan daripada lingkungan lima gulungan kitab Taurat ini. Seterusnya akan diberikan pengenalan dan perbincangan ringkas mengenai isi kandungan ayat-ayat suci bahagian ini.

     B. Induksi kitab Taurat

Isi kandungan Lima Kitab Musa adalah sangat kaya dan mengandungi banyak artikel. Kita selalu mempunyai perasaan keliru ketika membacanya. Walau bagaimanapun, isi kandungannya boleh diringkaskan kepada dua aspek :

  •     Asal usul sejarah

Penciptaan langit dan bumi, asal-usul umat manusia, keruntuhan kerohanian dan rencana kemajuan keselamatan ada maksud yang kuat dalam kitab Taurat. Walaupun latar belakang sejarahnya terbatas di sudut Asia Barat, namun hal itu cukup untuk memperlihatkan asal usul peradaban manusia. Dari zaman kekacauan langit dan bumi hingga ke zaman air bah dan dari zaman kepala kaum / kepala suku hingga ke panggilan umat pilihan, masa yang telah diambil adalah lebih daripada tiga ribu tahun. Terdapat kesinambungan yang terperinci mengenai asal usul dan pembentukan budaya tempatan. Semua ini cukup untuk dikaji oleh generasi akan datang.

  •     Pembentukan hukum Taurat

Kepercayaan agama, Sepuluh Firman, undang-undang moral, model korban… Semua ini merupakan ciri-ciri kitab Taurat dan boleh dibahagikan kepada tiga perkara secara ringkas: a. hukum ibadah (garis panduan ritual), b. hukum moral (garis panduan kelakuan), c. hukum kebersihan (garis panduan ketahiran). Hukum-hukum ini merupakan sebab Lima Kitab Musa disenaraikan dalam kitab Taurat. Perlu diperhatikan bahawa sebahagian besar hukumnya telah digunakan sehingga ke era Perjanjian Baru dan belum ditinggalkan oleh orang-orang Yahudi sehingga menjadi perintis kepada masyarakat yang diperintah oleh undang-undang.

 2. Kitab sejarah

Yos, Hak, Rut, 1 Sam, 2 Sam, 1 Raj, 2 Raj, 1 Taw, 2 Taw, Ezr, Neh, Est.

     A. Panduan kitab sejarah

Kitab sejarah merangkumi: Yosua, Hakim-hakim, Rut, Samuel (1&2), Raja-raja (1&2), Tawarikh (1&2), Ezra, Nehemia, Ester.

Alkitab dianggap sebagai klasik kuno tentunya kerana keterangan sejarahnya yang merupakan bahagian yang sangat penting. Beberapa gulungan kitab sejarah ini bukan sahaja mencatatkan tamadun kemanusiaan dan tempat-tempat bersejarah dari zaman kuno hingga zaman-berzaman bangsa Ibrani, tetapi juga menjadi bukti kepada nubuat-nubuat nabi. Antaranya melibatkan dari masa memasuki Kanaan, zaman hakim-hakim, masa mengangkat raja lalu membentuk kerajaan politik dan diperpanjangkan hingga ke zaman perpecahan kerajaan dan kemusnahan kerajaan selatan dan utara. Secara khususnya, ketiga-tiga kitab Ezra, Nehemia dan Ester bahkan meliputi sejarah penawanan selepas kemusnahan negara sendiri dan sejarah kepulangan umat. Semua sejarah ini mempunyai maksud kontemporarinya.

     B. Induksi kitab sejarah

Sejarah (terutamanya sejarah Israel) merupakan satu catatan bertulis mengenai peradaban manusia. Kepentingan keberadaannya bukan hanya dalam pemeliharaan bahan-bahan sejarah tetapi yang lebih penting ialah kita perlu mengambil pengajaran dan inspirasi daripada arkib sejarah untuk mengelakkan pisang berbuah dua kali. Oleh itu, dengan mensintesis maklumat-maklumat primitif daripada beberapa gulungan kitab sejarah Perjanjian Lama ini, terdapat beberapa maksud yang berbaloi untuk direnungkan :

  • Baik dan jahat pasti dibalas

Pasti ada fenomena sosial miskin, kaya, mulia dan hina dalam sepanjang zaman. Walau bagaimanapun, dapat dilihat daripada kitab-kitab ini bahawa tidak kira raja yang terhormat ataupun rakyat biasa yang miskin dan hina, semuanya dipelihara dalam prinsip “alang berjawab, tepuk berbalas”. Orang baik takut akan Tuhan, melakukan perbuatan yang benar pada mata Tuhan dan berpegang pada hukum Taurat Tuhan. Sebaliknya, orang jahat melakukan perbuatan yang jahat pada mata Tuhan dan meninggalkan amaran nabi-nabi. Bagi raja negara dan ketua keluarga khususnya, perkataan dan perbuatan mereka sama ada baik atau jahat mempunyai hubungan mutlak dengan kemajuanan dan kejatuhan sesebuah masyarakat dan keluarga. Oleh itu, Perjanjian Lama merupakan sebidang cermin bagi tingkah laku manusia supaya dunia dapat benar-benar menyedari bahawa sebab dan akibat pembalasan terletak pada Tuhan tetapi ditentukan dengan pilihan tingkah laku manusia. Tentu sekali ada pembalasan bagi kebaikan dan kejahatan. Tuhan merupakan Yang Mahakuasa yang menolak yang jahat dan memilih yang baik. Bolehkah dunia tidak berbuat baik supaya takut akan-Nya?

  •  Mengawasi terang dan gelap

Nilai ilmu sejarah bergantung sepenuhnya pada ketepatan fakta sejarah yang dicatatkan. Semua yang dilakukan oleh manusia dalam dunia di tempat tersembunyi bukan sahaja diawasi oleh Tuhan tetapi juga akan diungkapkan dalam terang. Maksudnya, kejahatan orang baik ataupun kebaikan orang jahat sama sekali tidak akan diabaikan oleh Tuhan. Kewibawaan Alkitab dalam hal ini adalah sukar untuk dilawan dengan buku-buku sejarah umum. Alkitab dapat menjadi objektif (tidak dipengaruhi oleh perasaan) dan adil dengan gerakan dan penilaian Tuhan Yang Mahakuasa dan Mahatahu. Oleh itu, ketulenan Alkitab bukan sahaja tidak boleh diragui bahkan boleh dijadikan sebagai kewaspadaan dan dorongan umat Kristian.

  •  Keadilan dan rahmat / belas kasihan

Keadilan Tuhan membuatkan orang baik tidak dapat memuji dirinya dan menjadi congkak manakala orang jahat pula tidak dapat mencari kemujuran. Walau bagaimanapun, rahmat / belas kasihan-Nya memberi peluang kepada orang jahat untuk kembali ke pangkal jalan dan berkenan kepada Tuhan. Dalam keadaan yang sukar untuk membezakan antara benar dengan salah dan keruntuhan akhlak manusia, Tuhan tetap berpegang pada prinsip-Nya yang tidak berubah. Dia menjelaskan kehendak-Nya melalui pena dan mulut para nabi. Dalam sejarah yang merupakan kitaran berterusan bagi kesalahan dan pertaubatan umat manusia, kita terpelihara dalam kebenaran yang diakui oleh Tuhan. Dalam hukuman yang adil dan rahmat / belas kasihan kepada orang yang bertaubat, kita dapat menyedari tentang sifat Tuhan dan jejak-jejak masa.

 3. Kitab hikmat

Ayb, Mzm, Ams, Pkh, Kid

     A. Panduan kitab hikmat

Kitab hikmat merangkumi lima gulungan kitab iaitu Ayub, Mazmur, Amsal, Pengkhotbah, dan Kidung Agung. Mazmur, Amsal dan Ayub membincangkan teori takut akan Tuhan dan menjadi seorang manusia melalui kaedah nyanyian, kata-kata mutiara dan slanga. Bahasanya indah dan jarang didapati dalam kesusasteraan umum. Gaya bahasa setiap kitab adalah berbeza dengan karya umum dan boleh dikatakan bahawa setiap gulungan kitab ini unik. Fokus kitab Pengkhotbah adalah pada falsafah hidup manusia manakala Kidung Agung pula membayangkan kesatuan Tuhan dan manusia melalui kasih antara suami isteri. Kelima-lima gulungan kitab ini disebut sebagai kitab hikmat dalam Perjanjian Lama ataupun Lima Kitab Nyanyian.

     B. Induksi kitab hikmat

Nampaknya kelima-lima gulungan kitab ini ada isi kandungan yang tersendiri dan tidak ada keperluan untuk menghubungkaitkan isi kandungannya. Walau bagaimanapun, semuanya adalah mengenai falsafah hidup manusia dan pengalaman iman kepercayaan. Oleh itu, isi kandungannya boleh diringkaskan seperti berikut:

  • Teori takut akan Tuhan dan menjadi seorang manusia

Penulis-penulis lima kitab ini meliputi raja yang mempunyai kemuliaan dan kekayaan, ada juga yang mempunyai pengalaman kaya dan miskin serta kehidupannya diuji. Apabila mereka merenung kembali dan menyedari erti kehidupan, mereka akhirnya memahami bahawa: Siapakah yang dapat berkuasa ke atas dirinya sendiri? Siapakah yang dapat mengatur langkahnya sendiri? Hanya Penguasa yang kekal itu. Dia mahu manusia benar-benar kembali ke dalam orbit takut akan Tuhan dan mengasihi manusia. Dengan itu, manusia akan dapat menghabiskan perjalanan dengan aman dan selamat walaupun perjalanannya sukar.

  • Maksud sebenar diuji

Kehidupan manusia bak lautan pahit. Memandangkan telah dilahirkan, maka manusia seolah-olah tidak berdaya apabila berhadapan dengan ujian hidup. Namun Tuhan ada kehendak yang indah iaitu supaya manusia dapat berfikir, belajar dan menjadi matang dalam penderitaan. Di samping itu, manusia dapat mengenali niat Tuhan yang merancang secara sengaja melalui latihan penderitaan.

  • Kesia-siaan di bawah matahari

Ketika semua makhluk hidup di bawah matahari sibuk mengejar kebendaan secara terburu-buru, orang yang berhikmat sudah dapat melihat bahawa semuanya ialah kesia-siaan. Tidak ada sesuatu yang baru di bawah matahari. Tidak kira menikmati segala kemegahan, kekayaan dan kehormatan ataupun menderita segala sengsara, kita semua akhirnya hanyalah terjerat dengan keinginan. Dalam zaman kenikmatan boleh didapati di mana-mana dan lelaki perempuan saling berkasih-kasihan, rasa takut akan Tuhan merupakan asas kehidupan. Kehidupan yang sebenar hanya dapat dinikmati jika kehidupan itu dibina di atas dasar iman kepercayaan.

  • Teori saling mengasihi

Walaupun ada penderitaan di dalam dunia dan hidup manusia akhirnya menjadi sia-sia, namun tetap ada maksud dan nilainya apabila Tuhan menempatkan manusia di atas pentas dunia. Tetapi sejauh manakah manusia dapat memahaminya? Walaupun tidak mudah untuk difahami, namun kita masih harus memainkan peranan yang datang cuma sekali ini dengan baik. Oleh itu, dalam menghadapi kehidupan manusia, Tuhan kita memberitahu kita melalui orang-orang yang berhikmat pada zaman kuno bahawa kita harus pandai menghargai kehidupan, menikmati segala usaha yang dilakukan dengan jerih payah dan menikmati hidup dengan isteri. Tuhan mahu kita usahakan semua ini dalam kehidupan yang sia-sia. Kehidupan antara suami isteri juga menyatakan kebenaran tentang Tuhan bersatu dengan manusia iaitu membentuk keluarga duniawi dan keluarga rohani dengan takut akan Tuhan dan saling mengasihi.

4. Kitab nabi-nabi

Lima kitab nabi besar, dua belas kitab nabi kecil

     A. Panduan kitab nabi-nabi

Kitab nabi-nabi secara umumnya dibahagikan kepada kitab nabi besar dan kitab nabi kecil berdasarkan panjang karya. Kitab nabi besar meliputi: Yesaya, Yeremia, Ratapan, Yehezkiel, Daniel. Kitab-kitab ini digelar sebagai lima kitab nabi besar. Selebihnya terdapat dua belas gulungan kitab yang disebut sebagai dua belas kitab nabi kecil: Hosea, Yoel, Amos, Obaja, Yunus, Mikha, Nahum, Habakuk, Zefanya, Hagai, Zakharia, Maleakhi.

Gerakan nabi-nabi bermula pada zaman Samuel dan terus meluas hingga ke generasi-generasi yang kemudian. Semua penulis yang muncul dalam kitab nabi-nabi ada  masa mereka yang tersendiri. Hal ini kerana Tuhan memilih dan memanggil mereka daripada kalangan umat pilihan zaman-berzaman. Tuhan membuatkan pada nabi menjadi golongan yang mahir tentang kehendak Tuhan atau terima penyataan daripada-Nya di samping menjadi jurucakap Tuhan. Kemudian, mereka menyeru, memberi peringatan, menasihati, menghibur dan memberi petunjuk kepada umat melalui lisan dan tulisan. Dalam zaman purba, mereka digelar sebagai nabi, pelihat, abdi Allah, hamba Tuhan dan orang yang penuh roh. Mereka merupakan satu kumpulan yang dibangkitkan oleh Tuhan ketika raja ataupun imam mengingkari firman. Mereka dipilih tanpa mengira identiti, usia, jantina atau bangsa. Tuhan memilih, memanggil mereka secara langsung dan secara tidak langsung, dan ada juga yang menjadi nabi dengan bernazar. Sebagai pelayan Tuhan, semua yang dimaklumkan oleh mereka ialah kehendak Tuhan.

Jarak masa dari nubuat nabi hingga ke masa penggenapannya ada yang mengambil masa sesingkat tiga, lima hari atau satu, dua bulan dan ada pula yang mengambil masa selama puluhan, ratusan bahkan ribuan tahun. Contohnya: mengangkat raja dan membentuk kerajaan, menyediakan bahan-bahan dan mendirikan bait suci, kemusnahan dan pemulihan kerajaan, kelahiran Mesias dan lain-lain lagi. Jika nubuat Tuhan tidak digenapi satu persatu, maka kitab nabi-nabi bukan sahaja kehilangan maknanya tetapi kebolehpercayaan Alkitab juga akan diragui. Hal ini tentu sekali ya. Kitab nabi-nabi khasnya memberi penekanan secara khusus bahawa: Daripada pembentukan kerajaan, kemusnahan kerajaan hingga kepada pemulihan kerajaan, walaupun perubahan bagi umat yang dipilih oleh Tuhan tidaklah kecil, namun semuanya itu adalah kerana umat meninggalkan ketetapan, peraturan, hukum dan perintah Tuhan sehingga kuasa kerajaan merosot ke tahap yang tidak terkendali. Namun, setelah genap waktu yang telah ditentukan, umat akhirnya kembali ke tempat yang kudus lalu mendirikan semula rumah / bait kudus dan membaikpulih kota kudus. Peristiwa-peristiwa ini menunjukkan ketepatan dan kebolehpercayaan nubuat nabi serta membuktikan nubuat yang datang daripada Tuhan bahkan membuatkan manusia tidak boleh tidak mengagumi perbuatan Tuhan yang ajaib.

     B. Induksi kitab nabi-nabi

Peranan nabi dalam zaman Perjanjian Lama ialah memaklumkan nubuat dan kehendak yang dinyatakan oleh Tuhan kepada mereka supaya umat pilihan memahami mesej yang disampaikan oleh Tuhan dari atas kepada semua orang. Kesudahan bagi umat yang memberontak dan ilham teori ketuhanan selepas itu dapat diringkaskan seperti berikut:

  • Kejahatan umat yang memberontak

Permulaan bagi kitab nabi-nabi ialah teguran Tuhan terhadap pemberontakan umat pilihan dan mendakwa kejahatan mereka. Malang sekali, selepas raja Uzia, umat pilihan tetap enggan menerima nasihat nabi dan tetap berbuat sesuka hati mereka. Kesalahan bagi kejahatan-kejahatan yang disebarkan dalam kitab nabi-nabi adalah tidak terbilang. Contoh: berhala di seluruh negara, mempersembahkan persembahan yang sia-sia, menindas anak yatim dan janda, hanya tertuju kepada pengejaran untung, bersukaria dalam kemewahan, bergaul dengan bangsa asing … Tuhan berkali-kali memberi amaran dan nasihat melalui nabi-nabi. Namun malangnya, umat yang dikasihi oleh Tuhan ini tetap telinga tempayan, meninggalkan perintah Tuhan, memungkiri perjanjian garam yang diikat oleh Tuhan dengan mereka lalu menimbulkan murka Tuhan.

  •  Situasi sengsara umat pilihan ditawan

Ketika semua orang dipenuhi dengan dosa dan kejahatan, nabi memberi amaran awal kepada mereka. Umat ini menyembah segala berhala yang keji, persembahkan darah anak-anak kepada berhala dan melakukan segala kekejian. Tentu sekali hukuman Tuhan akan menimpa mereka. Oleh itu, semua kitab nabi-nabi terus-menerus memberi amaran kepada mereka bahawa Yerusalem akan diruntuhkan, biji-bijian menjadi kering di dalam tanah, wadi menjadi kering dan Tuhan menjungkirbalikkan kota-kota Yerusalem. Lebih menyedihkan lagi, orang-orang kudus akan ditawan oleh bangsa asing, tempat yang kudus menjadi sunyi sepi, negara yang mulia menjadi tempat yang suram dan maut menelan umat yang memberontak. Walau bagaimanapun, umat Israel tetap menjadikan kejahatan sebagai trend. Adakah beberapa gulungan kitab nabi-nabi ini juga memberikan peringatan penting kepada gereja rohani?

  •  Nubuat tentang kelahiran Mesias

Selama kita membincangkan nubuat tentang kelahiran Mesias dalam Perjanjian Lama, semuanya akan memerhatikan kitab nabi besar Yesaya. Kitab Yesaya merupakan satu gulungan kitab agung yang bernubuat tentang riwayat Mesias yang diurapi. Sebenarnya, nubuat ini juga tersebar dalam kitab nabi-nabi yang lain: Mikha bernubuat tentang tempat kelahiran Kristus, Zakharia mencatatkan harga Kristus dijual, penyesalan Yudas dan wang ini diberikan kepada penuang logam, gembala dibunuh sehingga domba-domba tercerai-berai… Catatan-catatan ini menunjukkan kedudukan khusus kitab nabi-nabi dalam kerja penyelamatan dan penebusan pada kemudian hari. Ayat-ayat suci ini juga terus-menerus dipetik oleh Kristus dan para rasul. Hal ini tidak boleh diabaikan dalam mengkaji kitab nabi-nabi.

  •  Keadilan dan rahmat / belas kasihan Tuhan

Keadilan Tuhan adalah kerana pernyataan kuasa dan luahan naluri-Nya. Keadilan Tuhan juga membuatkan umat Israel, bangsa asing pada ketika itu dan bangsa-bangsa dalam setiap generasi tahu dan faham bahawa: Tuhan melayan manusia dengan keadilan. Segala bangsa, suku bangsa dan bahasa perlu bertanggungjawab atas perbuatan masing-masing. Ketetapan-ketetapan, peraturan-peraturan, perintah-perintah dan hukum-hukum Tuhan merupakan piawaian bagi seluruh alam semesta. Jangan sesekali mengingkarinya dengan sesuka hati. Dia tidak menjadikan kebaikan sebagai yang jahat dan tidak menjadikan kejahatan sebagai yang baik. Sekalipun Yerusalem dan Samaria, siapakah yang dapat melarikan diri daripada kesalahannya? Walau bagaimanapun, seperti yang diminta oleh nabi dan pemazmur, selepas murka-Nya, Tuhan tetap melayan umat-Nya dengan rahmat / belas kasihan. Dia menenangkan yang sedih, membalut yang luka, mengumpulkan semula yang bercerai-berai dan membasahi semula yang kering. Tuhan tidak membuang umat-Nya. Dia pasti melawat mereka dengan kemurahan dan kasih. Mesej-mesej ini juga dicatatkan dalam kitab nabi-nabi.

  •  Bangsa asing akhirnya pasti akan dihukum

Walaupun ketika umat pilihan berada dalam keruntuhan akhlak, bangsa-bangsa asing seperti Aram, Filistin, bahkan Edom, Moab dan Mesir pada kemudian hari menjadi duri yang menusuk lambung, jerat bagi dosa dan kejahatan serta cambuk atau cemeti dan tongkat yang memukul umat Israel. Ketika orang-orang kudus menderita kerana dosa, orang-orang ini bergendang paha di samping maju mentertawakan, menghina dan menindas umat pilihan yang berada dalam kesusahan. Bagaimanakah Tuhan dapat melepaskan mereka dengan senang atas kejahatan mereka yang memberatkan tanggungan ke atas umat pilihan? Mereka sama seperti cambuk / cemeti yang memukul anak yang dipatahkan lalu dibuang. Tuhan melayan bangsa-bangsa asing ini dengan kekerasan kerana Tuhan juga menyesal atas hukuman yang dijatuhkan ke atas umat pilihan. Pengalaman ini juga merupakan perbezaan antara umat pilihan dengan bangsa-bangsa asing. Namun, pernahkah orang-orang kudus memahami rencana kerelaan Tuhan?

  •  Umat yang ditawan / umat pembuangan mahu pulang

Tuhan tidak mempunyai murka yang selama-lamanya terhadap umat pilihan-Nya. Selain menghukum dosa dan kejahatan mereka, Tuhan juga terus-menerus berjanji bahawa umat yang ditawan / umat pembuangan ini mempunyai harapan pulang ke rumah. Walaupun negara mereka telah binasa, namun seorang raja akan membebaskan mereka tujuh puluh tahun kemudian. Janji Tuhan ini pasti dan rancangan-Nya juga ajaib. Pada masa yang sama, Tuhan telah menunaikan janji-Nya pada akhir gerakan nabi dengan membuatkan umat pilihan yang mengembara di tempat lain pulang secara berkumpulan. Hal ini menyatakan kasih setia dan rahmat / belas kasihan Dia serta menjadi bukti yang terbaik bagi nubuat nabi-nabi.

  •  Khemah Daud didirikan semula

Treler ini agung dan merupakan deklarasi sepanjang zaman. Daud ialah raja yang hebat dalam hati umat pilihan dan juga merupakan hero bangsa yang disegani oleh mereka terutamanya Mesias akan datang daripada keturunannya. Mereka mengharapkan kemakmuran yang pernah mereka miliki dapat muncul semula. Tuhan memaklumkan umat-Nya melalui para nabi bahawa kerajaan ini bukanlah kerajaan yang mereka fikirkan. Khemah Daud yang bakal didirikan semula oleh-Nya ialah pernyataan anugerah keselamatan pada akhir zaman. Oleh itu, penglihatan-penglihatan ini bukan sesuatu yang difahami oleh umat Israel. Hanya kita sebagai orang Israel sejati yang berdiri di belakang sejarah yang dapat melihat maksud sebenar tentang “mendirikan semula Khemah Daud”.

  •  Bangsa-bangsa berduyun-duyun ke gunung Tuhan

Perjanjian Tuhan dan janji-janji-Nya selalu menjadi tema utama dalam bidang teologi. Walaupun pemikiran bangsa Israel sempit iaitu mereka berfikir bahawa mereka merupakan bangsa yang diam tersendiri dan dipilih secara khusus, namun mereka terus-menerus menghasilkan tingkah laku yang memberontak. Sebaliknya, Tuhan menyatakan kepada semua generasi melalui para nabi bahawa anugerah keselamatan adalah universal, tangan kudus-Nya yang penuh kasih pasti akan memeluk bangsa-bangsa, menyelamat dan menebus seluruh umat manusia. Oleh itu, sejak awal kitab nabi-nabi lagi, Yesaya tidak henti-henti menyeru bahawa bangsa pasti akan berduyun-duyun ke gunung Tuhan, gunung tempat rumah Tuhan akan berdiri tegak di hulu gunung-gunung dan menjulang tinggi di atas bukit-bukit, sebab dari Sion akan keluar pengajaran dan firman Tuhan dari Yerusalem. Dia sendiri akan menjadi gembala lalu mengumpulkan bangsa kudus-Nya dari timur dan dari barat, dari utara dan dari selatan. Akhirnya, seperti yang dikatakan oleh nabi Maleakhi: “Sesungguhnya Aku akan mengutus nabi Elia kepadamu menjelang datangnya hari TUHAN yang besar dan dahsyat itu. Maka ia akan membuat hati bapa-bapa berbalik kepada anak-anaknya dan hati anak-anak kepada bapa-bapanya supaya jangan Aku datang memukul bumi sehingga musnah.” (Mal 4:5-6).