PERIHAL BERDOA DENGAN BERPUASA
(Chen Zhong Yang)
MAKNA BERDOA DENGAN BERPUASA
Berdoa dengan berpuasa adalah untuk menyatakan bahawa kita “merendahkan diri” di hadapan Tuhan (Dan 10:12) — iaitu menunjukkan bahawa kita memandang ringan tentang kesenangan duniawi dan memandang berat tentang kehidupan rohani. Kewargaan kita adalah di dalam syurga, dan hati kita tidak sepatutnya memandang berat tentang kesenangan duniawi (Kol 3:1-3, Ul 8:3). Tuhan berkenan dengan pelayanan sedemikian. Selain itu, berdoa dengan berpuasa juga untuk menumpukan perhatian dalam doa atau tindakan yang dilakukan untuk memohon belas kasihan dan pengampunan dosa daripada Tuhan (Im 16:29, Mzm 35:13). Berdoa dengan berpuasa juga merupakan kehidupan pelayanan bagi pemercaya (Luk 2:37-38). Nabi perempuan, Hana berpuasa dan berdoa di Bait Suci siang dan malam, dan menjadikan berpuasa dan berdoa sebagai kerja ibadahnya. Sebenarnya, Tuhan menghendaki kita yang menjadi milik-Nya memahami dengan mendalam bahawa manusia hidup bukan dari roti saja, tetapi dari setiap firman yang keluar dari mulut Allah dan bahawa rohlah yang memberi hidup (Yoh 6:63). Dengan itu, pemercaya dapat memandang berat tentang kehidupan rohani batin mereka dan memandang ringan tentang segala sesuatu dalam dunia. Hanya dengan cara ini kita dapat mengalahkan dunia dan menunjukkan kemuliaan yang seharusnya dimiliki oleh anak-anak Tuhan.
TUJUAN BERDOA DENGAN BERPUASA
A. Memohon Tuhan menyelesaikan kesulitan
Pastinya ada banyak latihan yang harus dihadapi dalam kehidupan kita. Namun, kemampuan kita benar-benar terhad kerana kita berada dalam tubuh daging dan diperbuat daripada debu tanah. Oleh itu, kita sentiasa memerlukan pertolongan daripada Tuhan, terutamanya ketika kita menghadapi kesulitan / masalah besar.
1. Yosafat (2 Taw 20:1-4,20-23): Pada zaman Yosafat, kerajaan Yehuda diserang oleh musuh yang kuat. Raja Yosafat menjadi takut lalu mengambil keputusan untuk mencari Tuhan. Ia menyeru kepada seluruh Yehuda supaya berpuasa dan bertekad untuk bersandar kepada Tuhan. Dia menyatakan kepada Tuhan bahawa “mata kami tertuju kepada-Mu” (2 Taw 20:12) Hasilnya, dia diberitahu bahawa bukan mereka yang akan berperang melainkan Allah (2 Taw 20:15). Oleh itu, Yosafat mengangkat orang-orang yang akan menyanyi nyanyian untuk Tuhan pada waktu mereka keluar di muka orang-orang bersenjata. Ketika mereka mulai bersorak-sorai dan menyanyikan nyanyian pujian, dibuat Tuhanlah penghadangan terhadap laskar musuh. Yosafat dan pasukannya mengalahkan musuh tanpa mengorbankan apa-apa (2 Taw 20:20-24).
2. Ester (Est 4:1-3): Pada zaman Ester, Haman berniat jahat terhadap orang-orang Yahudi di bawah pemerintahan Persia dan mereka menghadapi krisis kemusnahan kaum. Mordekhai melihat bahawa hanya Ester sahaja yang dapat menyelamatkan orang Israel. Oleh itu, dia menulis kepada Ester untuk mendorongnya supaya menyelamatkan orang Yahudi. Namun Ester sangat ketakutan. Mordekhai pun mendorong dia untuk kali kedua. Maka, Ester meminta Mordekhai untuk menyeru orang Yahudi supaya berpuasa dan berdoa selama tiga hari tiga malam. Setelah dia ada keyakinan, dia pun masuk menghadap raja untuk menyelamatkan rakan-rakannya.
Oleh itu, jika kita menghadapi ujian kesulitan dalam hidup kita, kita harus nerdoa dengan berpuasa ketika perlu. Persekutuan dan gereja ialah Kerajaan Tuhan. Jika ada kesulitan, berdoa dengan berpuasa juga perlu diumumkan.
B. Memohon Tuhan mengampuni dosa dan pelanggaran
Ketika kita dikalahkan oleh pelanggaran, kita biasanya perlu berdoa dengan berpuasa untuk menyatakan kelemahan dan pertaubatan kita kepada Tuhan (Neh 1:4-8).
1. Nehemia (Neh 9:1-4): Bagi orang-orang Yahudi yang pulang dari penawanan pada zaman Nehemia, walaupun mereka telah mengalami tujuh puluh tahun pengajaran yang menyakitkan, dan telah pulang untuk membangun kembali Bait Suci serta bersumpah di hadapan Tuhan untuk mentaati perintah Tuhan, tetapi mereka melupakannya kerana tidak mengamalkannya. Oleh itu, pada zaman Nehemia, kota kudus dimusnahkan dan dibangun kembali di bawah kepemimpinan Nehemia. Dalam pertemuan selepas menyelesaikan kerja, dia mengumumkan puasa. Mereka menyatakan penyesalan dan kesedihan yang paling dalam kerana mereka dan nenek moyang mereka tidak dapat mematuhi perintah Tuhan (Neh 9:1-4).
2. Orang-orang di kota Niniwe: Pada zaman Yunus, dosa dan kejahatan Niniwe telah sampai kepada Tuhan, dan Tuhan telah memutuskan untuk memusnahkan mereka. Tuhan mengutus Yunus untuk menyampaikan amaran. Yunus hanya menyampaikan amaran untuk satu hari, dan orang Niniwe percaya kepada Tuhan lalu mengumumkan puasa dan mereka, baik orang dewasa maupun anak-anak, mengenakan kain kabung. Pada akhirnya, turunlah raja dari singgasananya, ditanggalkannya jubahnya, diselubungkannya kain kabung, lalu duduklah ia di abu. Raja juga memberi perintah bahawa manusia dan ternak, lembu sapi dan kambing domba tidak boleh makan apa-apa, tidak boleh makan rumput dan tidak boleh minum air. Selain itu, haruslah semuanya, manusia dan ternak, berselubung kain kabung dan berseru dengan keras kepada Tuhan. Sikap bertaubat yang menyeluruh ini menyentuh hati Tuhan lalu Dia berbalik dan menyesal serta berpaling dari murka-Nya yang bernyala-nyala itu.
C. Memohon untuk memahami kebenaran
1. Daniel (Dan 10:1-3): Pada zaman Daniel, dia pernah menumpukan perhatian untuk memahami hal-hal masa depan lalu berpuasa selama 21 hari. Dia menyatakan keprihatinan dan kegelisahannya terhadap masa depan negaranya kepada Tuhan. Hasilnya, Tuhan menyatakan hal-hal yang pasti akan berlaku pada masa depan kepadanya (Dan 10:12).
Nampaknya, jika kita tidak memahami kebenaran atau memerlukan Roh Kudus untuk menuntun kita memahami segalanya, kita perlu berdoa dengan berpuasa untuk menyatakan rasa lapar dan haus akan kebenaran kita serta keprihatinan kita terhadap Kerajaan Tuhan dan kebenarannya.
2. Memohon Tuhan memajukan Injil
Injil ialah kekuatan Tuhan dan Tuhan sendiri bekerja. Kita hanya pekerja dan perabot Tuhan. Oleh itu, dalam 2 Korintus 4:7, Paulus berkata: “Tetapi harta ini kami punyai dalam bejana tanah liat, supaya nyata, bahwa kekuatan yang melimpah-limpah itu berasal dari Allah, bukan dari diri kami.” Dalam 1 Korintus 3:6-7, “Aku menanam, Apolos menyiram, tetapi Allah yang memberi pertumbuhan. Karena itu yang penting bukanlah yang menanam atau yang menyiram, melainkan Allah yang memberi pertumbuhan.” Oleh itu, perkara yang paling penting dalam pekerjaan Injil ialah doa, terutamanya berdoa dengan berpuasa.
- Tuhan berpuasa empat puluh hari dan empat puluh malam sebelum memberitakan Injil: Sebelum Tuhan Yesus keluar untuk memberitakan Injil, Dia dibawa oleh Roh Kudus ke padang gurun dan berpuasa di sana selama empat puluh hari dan empat puluh malam. Dia juga dicobai Iblis dan mendapat kemenangan.
- Para rasul berpuasa untuk mengutus pekerja (Kis 13:1-3): Pada zaman rasul-rasul, mereka sering berdoa dengan sehati untuk memajukan Injil. Khususnya ketika mengutus pekerja keluar untuk bekerja, mereka berpuasa dan berdoa supaya Roh Kudus memutuskan orang yang harus dipilih dan diutus (Kis 13:1-3).
D. Memohon kuasa
Kehidupan kita sebagai pemercaya merupakan kehidupan yang berperang. Musuh yang harus kita hadapi ialah roh-roh jahat di udara (Ef 6:12-14). Oleh itu, kenakanlah seluruh perlengkapan senjata Tuhan untuk melawan mereka. Mohonlah agar Tuhan memberikan kuasa rohani bagi mengalahkan musuh. Kuasa ini boleh dibahagikan kepada dua aspek:
1. Kuasa untuk menyembuhkan penyakit dan mengusir roh jahat (Mat 17:14-21): Kuasa ini amat diperlukan untuk memberitakan Injil. Tuhan Yesus memberikan kuasa ini kepada murid-murid-Nya ketika Dia mengutus mereka keluar bekerja (Mat 10:1). Jika berhadapan dengan roh jahat yang lebih garang, berdoa dengan berpuasa adalah amat diperlukan untuk mengalahkannya (Mrk 9:29).
2. Menahan keinginan / nafsu daging (Luk 2:36-37): Sebab keinginan daging berlawanan dengan keinginan Roh. Barangsiapa menjadi milik Kristus Yesus, ia telah menyalibkan daging dengan segala hawa nafsu dan keinginannya (Gal 5:19,24). Maka, seseorang yang milik Tuhan harus mematikan keinginan daging dengan mentaati Roh Kudus. Pada masa ini, berpuasa adalah amat diperlukan untuk memohon kuasa berperang.
MASA DAN CARA
“Berdoa dengan berpuasa” merujuk kepada berdoa kepada Tuhan tanpa makan atau minum untuk jangka masa tertentu (Kel 34:28; Dan 10:3; Yun 3:7-8; Est 4:16; Luk 4:2).
A. Masa: Boleh berpuasa satu hari (1 Sam 7:6), tiga hari tiga malam (Est 4:16), empat puluh hari (Kel 34:28; Mat 4:1-2).
Satu hidangan: Contohnya, puasa sarapan pagi, iaitu tidak makan dan tidak minum air setelah bangun pagi dan berhenti berpuasa dengan makan tengah hari. Tentang waktu makan tengah hari, tidak ada peraturan yang ketat yang menetapkan bahawa hanya boleh makan selepas jam 12 tengah hari. Namun, kita tidak boleh mengawalkan waktu makan tengah hari kepada pukul sepuluh atau sebelas hanya kerana kita lapar. Sebenarnya, hal yang paling penting ialah hati dalaman kita. Puasa adalah untuk menunjukkan kesolehan kita. Sudah tentu, puasa tidak boleh diformalkan atau sengaja mempunyai mentaliti “mencari lopang undang-undang”. Jika berbuat demikian, tindakan itu tidak berkenan kepada Tuhan.
B. Cara: Boleh dilakukan secara individu, seperti Tuhan Yesus, Nehemia, (Mat 4:2; Neh 1:4). Boleh dilakukan secara berkelompok, seperti pada zaman para rasul (Kis 13:1-3). Boleh dilakukan secara seluruh jemaat. Seperti pada waktu Mordekhai, dia mengumumkan semua orang Yahudi berpuasa (Est 4:16). Orang-orang Niniwe bertaubat dan berpuasa juga dilakukan secara seluruh kota.
PERKARA – PERKARA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN
A. Jangan diformalkan (Luk 18:9-12): Berpuasa adalah kerana kita ada keperluan untuk berpuasa (Mrk 2:18-20). Berpuasa tidak boleh dijadikan sebagai sebuah bentuk kehidupan yang formal, atau bahkan dijadikan sebagai tindakan untuk mempamerkan kesolehan (Luk 18:9-12). Tindakan ini menyebabkan kehilangan makna puasa dan tidak berkenan kepada Tuhan.
B. Jangan sengaja membiarkan orang tahu (Mat 6:16-18): Berpuasa adalah untuk menunjukkan kepada Tuhan di hadapan Tuhan, dan untuk berkenan kepada Tuhan. Berpuasa tidak bermaksud untuk mendapatkan kemuliaan daripada manusia melalui tindakan berpuasa. Mentaliti seperti itu juga tidak berkenan kepada Tuhan. Oleh itu, seperti yang diajarkan oleh Tuhan Yesus, ketika berpuasa, jangan mengubah air muka, tetapi harus menjalani kehidupan yang normal. Masuklah pejabat dan bekerjalah seperti biasa serta berpakaian kemas.
C. Jangan berbuat jahat dan salah (Yes 58:3-7): Memandangkan berpuasa adalah untuk berkenan kepada Tuhan, maka kita harus kembali kepada Tuhan dalam tempoh berpuasa dan berusaha melakukan firman untuk berkenan kepada Tuhan. Janganlah hanya ada perbuatan berpuasa tetapi tidak melakukan firman, tidak ada kasih dan tidak mematuhi peraturan pada hari-hari biasa. Jika begitu, bagaimana dapat berkenan kepada Tuhan? Orang Israel pada masa lalu mempunyai masalah ini. Mereka sangat mementingkan puasa secara formal, tetapi mereka tidak memiliki kesolehan sejati dalam hati mereka. Selama tempoh berpuasa, mereka masih melakukan kejahatan, mencari keuntungan, bersaing antara satu sama lain, tidak melakukan firman dan tidak mempunyai kasih (Yes 58:3-7). Apakah makna berpuasa seperti itu?
D. Jangan malas berdoa: Tujuan berpuasa adalah untuk memohon kepada Tuhan. Oleh itu, jika hanya ada puasa tetapi tidak ada doa, maka puasa ini akan menjadi formaliti dan hanya mempunyai penampilan luaran yang soleh. Oleh itu, ketika kita berpuasa, kita harus mencari lebih banyak masa untuk berdoa, memohon, dan berkomunikasi dengan Tuhan agar dapat mencapai tujuan berpuasa.