PERBANDINGAN ANTARA AGAMA KRISTIAN DENGAN AGAMA BUDDHA

PERBANDINGAN ANTARA AGAMA KRISTIAN DENGAN AGAMA BUDDHA

 

PENDAHULUAN

Agama Kristian, Buddha dan Islam disenaraikan sebagai tiga agama utama di dunia. Agama-agama ini mempunyai pencapaian realistik dan potensi dalaman masing-masing yang tidak boleh diabaikan tidak kira dalam aspek perkembangan sejarah, penciptaan bertamadun, pencapaian seni, mahupun doktrin dan panduan hidup. Dalam sejarah lepas, pertempuran politik dan kejutan budaya antara agama Kristian dengan agama Islam lebih kerap berlaku. Dalam abad-abad kebelakangan ini, pencerobohan wilayah dan serangan doktrin antara agama Kristian dengan agama Buddha telah menjadi isu utama dalam dunia keagamaan.

Sebagai umat Kristian yang berada dalam persekitaran yang berbilang agama dan kepercayaan yang kacau-bilau di Taiwan, kita ada keperluan untuk mengenal pasti perbezaan asas antara agama Kristian dengan agama lain, memahami kebenaran Alkitab dan mengenali kesalahan agama lain supaya dapat memperkuat asas kepercayaan kita. Dengan itu, kita dapat menjelaskan erti kehidupan yang sebenar kepada pemercaya agama-agama lain dan memimpin lebih banyak orang meninggalkan kepalsuan dan kembali kepada kebenaran.

Artikel ini terutamanya membandingkan perbezaan asas antara agama Kristian dengan agama Buddha. Agama Kristian dan agama Buddha masing-masing mempunyai konotasi yang kaya dan sejarah yang panjang. Tema dan skop yang boleh dibandingkan adalah sangat luas iaitu bermula dari pengedaran geografi, sistem organisasi, gaya budaya, hubungan politik dan agama ke ciri-ciri pakaian, kaedah ibadah, peraturan diet, peralatan keagamaan dan lain-lain. Namun jika dilihat dari segi perbandingan kepercayaan, idea utama dan teori doktrin kedua-dua agama ini harus dianggap sebagai pusat perbandingan. Idea utama dan teori doktrin ini juga merupakan teras dalam memahami perbezaan antara kedua-dua agama tersebut. Oleh itu, dalam ratusan tahun kebelakangan ini, banyak sarjana membuat perbandingan dari segi klasik, watak, tema doktrin, dan konsep teras. Namun kebanyakannya merupakan karya akademik manakala kritikan tentang iman kepercayaan adalah sangat kurang. Artikel ini bermaksud menjadikan tuntutan Alkitab sebagai asas dan mengkritik dari perspektif iman kepercayaan untuk membezakan iman kepercayaan itu benar atau palsu dan kebenaran itu betul atau salah.

 

ISI KANDUNGAN

Pada abad ketujuh SM, Shakyamuni mengasaskan agama Buddha di semenanjung India dengan ajaran asas seperti Tiga Corak Umum (Tilakkhana) (Catatan 1), Empat Kebenaran Mulia (Cattari Ariya Saccani) (Catatan 2), Jalan Mulia Berunsur Delapan (Catatan 3), dan Dua belas Nidana / Hukum Sebab-Musabab (Paticcasamuppada) (Catatan 4). Selepas perkembangan selama ratusan tahun, kedua-dua mazhab Exotoric Buddhism dan Esoteric Buddhism tersebar ke arah selatan dan timur. Mazhab-mazhab lain turut bertapak di Asia Tenggara, Tibet, China, dan Jepun lalu menghasilkan banyak mazhab Buddha pada hari ini. Terdapat perbezaan yang besar antara agama Buddha primitif dengan agama Buddha pada hari ini. Namun secara umumnya, tidak kira mazhab Mādhyamaka dan Yogācāra pada awal zaman di India, mazhab Tiantai dan Huayan di China, dan mazhab Pure Land Buddhism dan Zen Buddhism yang popular pada hari ini, semuanya masih berdasarkan ideologi Sakyamuni. Topik-topik yang disenaraikan dalam jadual berikut akan dibandingkan dan dibincangkan.

 

AGAMA

KONSEP

BUDDHA KRISTIAN
TEORI FITRAH MANUSIA Teori kebaikan Teori kejahatan
KONSEP IMAN KEPERCAYAAN Teori kesedaran Teori penyelamatan dan penebusan
KONSEP KETUHANAN Ateisme Monoteisme
KONSEP ALAM SEMESTA Teori Pratiyasamutpada Teori penciptaan
KONSEP KEHIDUPAN Teori samsara Teori satu hayat
KONSEP DESTINASI AKHIR Teori Nirvana Teori syurga

 

1. TEORI FITRAH MANUSIA

Agama Buddha tidak ada artikel khas yang membincangkan isu fitrah manusia. Namun, teori “Buddha-dhātu” (Buddha-nature) ialah isu utama dalam teori Buddha. Agama Buddha berpendapat bahawa segala makhluk hidup (Catatan 5) (manusia merupakan salah satu makhluk hidup) mempunyai sifat Buddha. Sifat Buddha (Buddha-nature) adalah suci dan tidak tercemar, tidak berselindung dan tidak ada keresahan. Walaupun tidak ada permulaan (anadikala), sifat Buddha disembunyikan di sebalik āgantuka kejahilan (Avidyā) (Catatan 6) dan menimbulkan kekeliruan, namun hal ini tidak memudaratkan kebaikan semula jadi. Sifat semula jadi seseorang masih baik dan terang di samping kuasa autonomi dirinya tidak akan rosak, cacat, atau mati kerana kejahilan. Maksudnya, sifat manusia tidak hanya naif dan baik, tetapi juga mempunyai kemampuan untuk menyelamatkan diri daripada kejahatan dan mendekati kebaikan.

“Sebab itu, sama seperti dosa telah masuk ke dalam dunia oleh satu orang, dan oleh dosa itu juga maut, demikianlah maut itu telah menjalar kepada semua orang, karena semua orang telah berbuat dosa.” (Rm 5:12). Alkitab menyatakan bahawa sejak berdosa, manusia bukan hanya kehilangan cahaya terang Tuhan, tetapi sifat manusia telah mengalami kebejatan lalu mati sehingga mustahil baginya untuk melepaskan diri. Manusia dicipta menurut kehendak Allah dan sifat manusia pada asalnya adalah baik. Namun selepas berbuat dosa, sifat manusia bukan sahaja terikat dengan dosa secara luaran bahkan dirinya telah kehilangan sifat semula jadi dan kemampuan. Oleh itu, sifat manusia tidak lagi baik bahkan tidak berdaya untuk menjadi baik bagi mengembalikan semula wajah sebenar diri sendiri.

Jika dibandingkan antara keduannya, agama Buddha mengamalkan teori kebaikan manakala agama Kristian pula mengamalkan teori kejahatan. Walaupun kedua-dua agama ini mempunyai makna kebaikan (makna agama) yang berbeza, perbezaan antara kebaikan dengan kejahatan bagi kedua-duanya dapat ditentukan dengan melihat sama ada agama tersebut mempunyai kemampuan untuk menyelamatkan diri. Menurut kenyataan ini juga, perbezaan antara agama yang bergantung pada diri sendiri dengan agama yang bergantung pada kekuatan luar dapat dibezakan.

2. TEORI IMAN KEPERCAYAAN

Tuntutan teori kebaikan membuatkan agama Buddha percaya bahawa manusia dikaburi dan ditarik oleh kejahilan lalu terjerumus ke dalam ketidaksedaran yang sia-sia dan mengecewakan di samping tersesat dalam dunia yang kotor dan tidak nyata. Sifat semula jadi yang sedar serta jelas dan sifat semula jadi Buddha iaitu sifat Buddha itu sendiri memiliki kemampuan kesedaran untuk menghilangkan ilusi dan mempersembahkan realiti serta menguraikan rahsia dan menghapuskan khayalan. Oleh itu, dalam proses kesedaran dan pemulihan yang berterusan, manusia boleh melepaskan diri daripada rintangan dengan bergantung pada kekuatan dalaman. Walaupun penganut Buddha juga menyembah Bodhisattva, namun sokongan Buddha dan Bodhisattva hanyalah sekadar bantuan. Manusia dapat dibebaskan kerana sifat Buddha yang menyelamatkan diri yang wujud dalam dirinya sendiri. Oleh itu, agama Buddha merupakan agama yang bergantung pada diri sendiri dan menyatakan bahawa manusia tidak memerlukan penyelamatan daripada kuasa luar.

“Sebab karena kasih karunia kamu diselamatkan oleh iman; itu bukan hasil usahamu, tetapi pemberian Allah, itu bukan hasil pekerjaanmu: jangan ada orang yang memegahkan diri.” (Ef 2:8-9). Setelah berdosa, manusia meninggalkan hadapan Tuhan kerana pengasingan dosa dan menjalani kehidupan yang tidak berpengharapan dalam dunia. Dengan kebobrokan sifat manusia, manusia telah kehilangan kemampuan untuk menyelamatkan diri sendiri. Walau bagaimanapun, kerana begitu besar kasih Tuhan akan dunia ini, Firman itu telah menjadi manusia dan membuka jalan menuju ke kehidupan kekal. Dengan itu, manusia dapat diperdamaikan dengan Tuhan dengan bersandarkan penyelamatan dan penebusan Yesus Kristus melalui pembaptisan darah yang bernilai supaya dosa disucikan dan sifat semula jadi dipulihkan. Semua ini diperoleh dengan kasih karunia Tuhan dan diterima oleh iman manusia, bukan oleh sifat semula jadi dalaman ataupun amalan luaran. Oleh itu, agama Kristian menuntut bahawa manusia perlu bergantung pada kuasa penyelamatan dan penebusan luaran untuk melepaskan diri daripada dilema kehidupan.

3. TEORI KETUHANAN

Agama Buddha merupakan agama yang sangat berpegang pada teori Ateisme. Memandangkan manusia dapat dibebaskan dengan bergantung pada diri sendiri dan menjadi Buddha, maka seseorang tidak memerlukan tuhan yang mengatasi segalanya untuk menyelamatkannya. Semua Buddha dan Bodhisattva bukan tuhan. Buddha dan segala makhluk hidup (manusia) mempunyai sifat semula jadi yang sama. Mereka yang sesat ialah makhluk hidup dan mereka yang sedar ialah Buddha. Bak kata mereka, Buddha ialah makhluk hidup dan makhluk hidup ialah Buddha. Walaupun agama Buddha juga berbincang tentang tuhan, namun makna dan rujukannya sama sekali berbeza dengan makna Tuhan yang ditentukan oleh agama Kristian. Tuhan dalam agama Buddha ialah makhluk hidup dalam dunia yang fana. Mereka dipengaruhi oleh undang-undang karma dan mereka bereinkarnasi (samsara) dalam enam alam (ṣaḍgatīḥ,Six Realms of Rebirth) (syurga, manusia, asura, binatang, hantu lapar, neraka). Mereka tidak terlepas daripada kelahiran dan kematian, bahkan tidak memiliki kuasa untuk membalas kebaikan dan menghukum kejahatan serta tidak terima pemujaan daripada manusia.

“Firman Allah kepada Musa: “AKU ADALAH AKU.”” (Kel 3:14). Alkitab dengan jelas menyatakan kewujudan Tuhan. Tuhan adalah satu-satunya, tidak ada tuhan lain selain Dia. Tuhan mengatasi segalanya, maha mengetahui, maha baik dan maha berkuasa. Tuhan tidak berada dalam cakupan ruang dan masa, berada di luar kedua-dua penghujung kelahiran dan kematian. Tuhan ialah sumber kewujudan, sandaran nilai, standard kebaikan dan kejahatan. Tuhan juga Pencipta, Bapa kehidupan dan Juruselamat bagi manusia. Terdapat banyak hubungan antara Tuhan dengan manusia iaitu yang tidak terbatas dan yang terbatas, Pencipta dan yang diciptakan, Bapa dan anak, Juruselamat dan orang yang berdosa.

4. TEORI ALAM SEMESTA

Agama Buddha percaya bahawa semua yang berada di dalam alam semesta ialah hasil kuasa karma (Catatan 7) oleh peribadi dan karma kolektif (Catatan 7). Semua perkara muncul secara saling bergantung, saling menjadi sebab dan akibat, dinyatakan dalam hati dan berubah kerana tahu. Memandangkan semua undang-undang dibentuk oleh gabungan sebab-musabab, maka tidak ada kewujudan entiti (substance) yang tetap, tidak berubah dan kekal untuk selama-lamanya. Apabila sebab-musabab bergabung, objek atau dhamma akan muncul; apabila sebab-musabab dipisahkan, objek atau dhamma akan hilang. Oleh itu, semuanya tidak ada sifat diri sendiri, tidak benar dan sekadar khayalan iaitu yang disebut sebagai kepalsuan dan kekosongan (sunyata).

Keadaan alam semesta adalah sama dengan keadaan makhluk hidup dan manusia. Agama Buddha berpendapat bahawa manusia merupakan gabungan daripada lima agregat (skandha) (materialiti – rūpakkhandha, perasaan – vedanākkhandha, persepsi – saññākkhandha, pembentukan mental – sankhārakkhandha, kesedaran – viññanakkhanda). Tubuh manusia menjelma dan menjadi hidup kerana gabungan sebab-musabab. Apabila sebab-musabab lenyap pada kemudian hari, manusia tidak lagi hidup dan wujud. Maka, tidak ada entiti dalaman yang wujud secara kekal. Oleh itu, agama Buddha menafikan bahawa manusia (dan semua makhluk hidup) mempunyai roh jiwa yang kekal.

“Pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi.” (Kej 1:1). Segala sesuatu dalam alam semesta diciptakan oleh Tuhan dengan Firman melalui kuasa-Nya di samping mencipta kehidupan di atas segala makhluk hidup. Oleh itu, semua benda dan makhluk hidup adalah nyata dan bukannya kekosongan. Terdapat kuasa besar Tuhan yang menopang dan menguruskan operasi alam semesta, kelahiran dan kematian segala sesuatu, bahkan ada jagaan dan pimpinan Tuhan yang penuh kasih.

“Ketika itulah TUHAN Allah membentuk manusia itu dari debu tanah dan menghembuskan nafas hidup ke dalam hidungnya; demikianlah manusia itu menjadi makhluk yang hidup.” (Kej 2:7). Manusia diciptakan oleh Tuhan dan wujud secara nyata lalu menjadi berlipat ganda. Dia juga mengurniakan roh dan jiwa yang tinggal di dalam tubuh manusia. Selepas manusia meninggal dunia, roh dan jiwa tetap wujud. Roh dan jiwa tidak binasa bersama dengan tubuh daging.

5. TEORI KEHIDUPAN

Agama Buddha mendakwa bahawa manusia ada tiga hayat: hayat masa lalu, hayat sekarang dan hayat yang akan datang. Karma permulaan kejahilan anadikala (tidak ada permulaan) menghasilkan balasan karma. Punca karma sejak zaman-berzaman ditambah dengan karma pembentukan mental dalam dunia ini akan menjadi hasil karma dalam hayat ini. Karma pembentukan mental yang tertentu pada masa kini ditambah dengan punca karma dalam hayat masa lalu akan menjadi punca karma bagi hayat yang akan datang. Oleh itu, dalam kitaran sebab-musabab yang tanpa pengakhiran dan tanpa henti ini, manusia (semua makhluk hidup) menderita reinkarnasi (samsara) dalam enam alam dalam balasan karma tiga hayat.

“Dan sama seperti manusia ditetapkan untuk mati hanya satu kali saja, dan sesudah itu dihakimi.” (Ibr 9:27). Kehidupan manusia diberikan oleh Tuhan. Hanya ada satu kehidupan, tidak ada kehidupan sebelumnya ataupun kehidupan akhirat. Pada permulaan kehidupan, Tuhan memberikan roh dan jiwa kepada tubuh daging lalu manusia hidup di dalam dunia. Selepas meninggal dunia, tubuh daging kembali kepada tanah manakala roh dan jiwa pula beristirahat sambil menantikan penghakiman hari kiamat.

6. TEORI DESTINASI AKHIR

Agama Buddha menganggap semua makhluk hidup menderita reinkarnasi (samsara) dalam enam alam iaitu berada dalam persekitaran yang menderita dan belum mendapat pembebasan. Oleh itu, mereka perlu bergantung pada faktor dalaman dan syarat luaran untuk terus memadamkan (terus menerus melampaui, meningkat lapisan demi lapisan) bahkan melenyapkan kejahilan lalu keluar daripada reinkarnasi (samsara) enam alam dan terlepas daripada penderitaan kitaran. Dengan itu, mereka dapat “sedar” dan “tahu” tentang pembebasan lalu memasuki nirvana dan mencapai tahap yang tertinggi hingga menjadi Buddha.

“Sebab saatnya akan tiba, bahwa semua orang yang di dalam kuburan akan mendengar suara-Nya, dan mereka yang telah berbuat baik akan keluar dan bangkit untuk hidup yang kekal, tetapi mereka yang telah berbuat jahat akan bangkit untuk dihukum.” Iman kepercayaan dan tingkah laku manusia dalam kehidupan ini akan menentukan destinasi akhirnya pada kemudian hari. Selepas meninggal dunia, roh dan jiwa akan berada di Firdaus ataupun dunia orang mati / jurang maut sementara menunggu penghakiman hari kiamat. Apabila dunia berakhir, ketika Tuhan datang kembali, manusia akan bangkit dari antara orang mati oleh kuasa besar Tuhan. Orang-orang yang diselamatkan oleh Tuhan dan berpegang pada perintah serta mengamalkan firman akan dapat memasuki syurga untuk menikmati hidup kekal. Orang-orang yang tidak percaya dan melakukan kejahatan akan masuk ke neraka dan menerima hukuman yang kekal.

 

KRITIKAN

Bahagian di atas telah membandingkan agama Kristian dan agama Buddha dalam isu-isu yang tertentu. Berikut merupakan kritikan terhadap tuntutan agama Buddha:

  1. Teori Pratiyasamutpada menuntut bahawa segala undang-undang tidak mempunyai inti diri. Segala undang-undang ditetapkan dan dimusnahkan secara saling bergantungan. Tidak ada kewujudan yang abadi dan tidak ada hubungan atau kekuatan yang wujud untuk selamanya. Namun mereka juga menuntut bahawa “karma” ada untuk selama-lamanya. Walaupun karma pembentukan mental yang menghasilkan karma ini telah lama hilang, namun selagi karma itu belum selesai, karma itu akan selalu ada dan tidak akan pupus. Adakah karma tidak mempunyai kaitan dengan teori Pratiyasamutpada? Terdapat percanggahan besar antara teori Pratiyasamutpada dengan teori karma.
  2. Teori Pratiyasamutpada boleh membawa kepada teori anattā. Walau bagaimanapun, teori ini saling bercanggahan dengan konsep reinkarnasi (samsara) dan konsep nirvana. Memandangkan makhluk hidup (termasuk manusia) tiada inti diri, apakah itu reinkarnasi (samsara)? Apakah yang masuk ke dalam nirvana? Agama Buddha juga menuntut bahawa kebanyakan manusia hanya pergi ke samsara selepas empat puluh sembilan hari Dalam tempoh ini, roh dan jiwa orang mati boleh dialihkan (dibebaskan daripada penderitaan neraka). Apa yang dialihkan jika manusia tiada inti diri? Apakah sasaran (objek) reinkarnasi (samsara) dan peralihan? Selain itu, jika mereka menuntut bahawa tidak ada subjek reinkarnasi (samsara), apakah hubungan antara inti diri dalam hayat ini dengan hayat masa lalu dan hayat masa depan? Mengapakah inti diri dalam hayat ini perlu menanggung hasil karma bagi hayat masa lalu? Jika tidak ada kaitan antara keduanya, bagaimanakah teori balasan karma dapat dibentuk? Jika tidak ada kaitan antara keduanya, maka saya boleh berbuat apa saja dengan bermaharajalela dalam hayat ini memandangkan akan ada “bukan inti diri saya” dalam hayat akan datang yang menanggung hasil karmanya. Bagiamanakah moraliti dapat dibentuk?
  3. Teori Pratiyasamutpada mengatakan bahawa segala undang-undang wujud secara saling bergantungan. Walaupun teori kejahilan digunakan untuk menjelaskan ilusi undang-undang yang nyata, namun gunung, sungai, matahari, bulan dan bintang memang wujud secara nyata. Semua ini tidak dapat dinafikan dengan teori idealisme. Tambahan pula, teori Pratiyasamutpada menafikan kewujudan “punca pertama” dalam permintaan rasional. Hal ini sama dengan tidak menjelaskan asal-usul segala sesuatu dalam alam semesta. Hakikatnya, teori Pratiyasamutpada hanya menyempurnakan, menyulitkan dan merasionalkan teori “segala sesuatu dalam alam semesta adalah wujud secara semula jadi”.
  4. Agama Buddha menuntut bahawa sifat manusia pada asalnya adalah baik menurut teori alam Buddha (Buddha-nature) dan boleh diselamatkan dengan bergantung pada diri sendiri. Walau bagaimanapun, berdasarkan bukti empirik kuno dan moden serta kajian dalam dan luar negara, adalah mustahil bahawa manusia dapat mencapai tahap yang lengkap dan sempurna dengan bergantung pada diri sendiri. Mengakui ketidaksempurnaan dalam sifat diri manusia itu tidak akan merugikan nilai dan harga diri manusia. Seseorang yang benar-benar berani dapat menghadapi dan menerima dirinya dengan berani. Iman kepercayaan tidak perlu terletak pada teori kesempurnaan yang palsu. Iman kepercayaan mestilah merupakan Firman hidup yang boleh dirasai dan dibuktikan.

 

KESIMPULAN

Tujuan agama adalah untuk mencari kebenaran hidup dan memberitahu jalan keluarnya. Matlamat iman kepercayaan adalah membuat anjakan paradigma ke atas dilema kehidupan dengan cara yang betul dan kembali kepada sifat yang mengatasi segalanya.

Hanya ada satu kebenaran dalam hidup dan kita percaya bahawa petunjuk dalam Alkitab ialah kebenaran. Hal ini kerana kita memahaminya dalam kerasionalan dan membuktikannya dalam pengalaman. Kebenarannya, manusia diciptakan oleh Tuhan dengan debu tanah serta diberikan roh dan jiwa lalu menjalani kehidupan yang terhormat di hadapan Tuhan. Namun manusia kemudiannya dicelakakan oleh dosa sehingga dipisahkan daripada Tuhan, mengalami kebejatan sifat, terjerat dalam maut bahkan melalui masa-masa yang tidak berpengharapan, sia-sia dan tidak masuk akal. Walau bagaimanapun, manusia dapat melangkah kembali ke dalam Firman hidup dan kembali ke tempat asal berdasarkan iman kerana adanya kasih karunia Tuhan dan penyelamatan Yesus.

Firman agama ialah firman yang mengatasi segalanya manakala perjalanan iman kepercayaan ialah perjalanan balik kampung. Kita hanya dapat menemukan kebenaran hidup manusia dalam Alkitab dan kembali ke rumah Bapa.

 

CATATAN

Catatat 1, Tiga Corak Umum (Tilakkhana): ketidakkekalan (Anicca;), ke-tiada-akuan (atau tanpa inti) (Anatta), penderitaan (Dukkha).

Catatan 2, Empat Kebenaran Mulia (Cattari Ariya Saccani): Kebenaran Mulia tentang penderitaan (Dukkha Ariya Sacca), Kebenaran Mulia tentang asal-usul penderitaan (Dukkha Samudaya Ariya Sacca), Kebenaran Mulia tentang lenyapnya penderitaan (Dukkha Nirodha Ariya Sacca), Kebenaran Mulia tentang jalan menuju lenyapnya penderitaan (Dukkha Nirodha Gaminipatipada Ariya Sacca).

Catatan 3, Jalan Mulia Berunsur Delapan: Pengertian Benar (samma-ditthi), Fikiran Benar (samma-sankappa), Ucapan Benar (samma-vaca), Perbuatan Benar (samma-kammanta), Pencarian Benar (samma-ajiva), Daya-upaya Benar (samma-vayama), Perhatian Benar (samma-sati), Konsentrasi Benar (samma-samadhi).

Catatan 4, Dua belas Nidana / Hukum Sebab-Musabab (Paticcasamuppada): Kejahilan / kebodohan (Avidyā), perbuatan / kamma (Sankhara), kesedaran (Vinanna), batin dan jasmani (Nama-Rupa), enam indra (Salayatana), kesan-kesan, perasaan (Vedana), nafsu keinginan (Tanha), kemelekatan (Upadana), proses tumimbal lahir / proses menjadi (Bhava), kelahiran kembali (Jati) dan ketuaan, kematian (Jara-Marana).

Catatan 5, makhluk hidup: Segala bentuk kehidupan dalam enam alam.

Catatan 6, kejahilan (Avidyā): Kesedaran yang palsu.

Catatan 7, karma: Tingkah laku, termasuk semua tingkah laku dalaman dan luaran dari segi badan, mulut dan fikiran.

Kuasa karma: merujuk kepada kesan tingkah laku.

Balasan karma: merujuk kepada pembalasan akibat tingkah laku.

Karma peribadi: merujuk kepada tingkah laku peribadi bagi semua makhluk hidup.

Karma kolektif: merujuk kepada tingkah laku terkumpul semua makhluk hidup.